Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan bercadang mewujudkan program khas bagi melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, cadangan itu juga bertujuan memastikan setiap kawasan petempatan masyarakat Orang Asli mempunyai guru takmir.

“Pelantikan guru takmir memang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri yang mengatur tempat pembelajaran.

“Tetapi kita nak kalau boleh ada perubahan yang lebih bersifat menyeluruh dari segi penyampaian dan tugasan supaya semua tempat ada guru takmir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, di sini hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh pihaknya dan Jakim, serta berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu beri perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Zulkifli berkata Kembara Kasih Mualaf akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain untuk memastikan hubungan bersama saudara baru lebih akrab.

Katanya melalui program tersebut, pelbagai modul pembelajaran perkara asas seperti cara solat, mengambil wuduk, mandi wajib dan mandi jenazah dapat diajar sebaiknya.

Pada majlis itu, Zulkifli melawat beberapa buah rumah dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan mualaf selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast