Orang ramai masih lagi mengunjungi kelab malam dan pub walaupun aktiviti dalam kategori ditutup sepanjang tempoh PKPP. - Gambar fail MalaysiaGazette

PETALING JAYA – Polis menahan lima individu dalam serbuan tiga pusat hiburan yang berasingan di sekitar Kelana Jaya dan Damansara pada tengah malam hingga awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka yang ditahan itu merupakan seorang merupakan lelaki warga tempatan yang mengaku dirinya sebagai penjaga premis berkenaan dan empat lelaki warga asing.

“Semakan mendapati premis tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan menjual minimum keras.

“Premis berkenaan juga didapati menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya seramai 227 pelanggan yang hadir ke kedua-dua premis berkenaan dikompaun RM1,000 setiap seorang atas perlanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Khas di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pindaan) 2020.

“Dalam serbuan itu pihak polis juga telah membuat rampasan sebuah komputer riba, sebuah mixer, 15 botol arak pelbagai jenama.

“Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya akan terus memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan sepanjang PKPP dilaksanakan,” tegasnya. – MalaysiaGazette