Bacaan ikrar oleh seramai 32 pelajar ahli MPP yang juga barisan kepimpinan baharu MPP UTeM Sesi 2020/2021.

KUALA LUMPUR – Pelajar Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Aiman Shafiq Azizan dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan
Pelajar (MPP) UTeM Sesi 2020/2021.

Aiman Shafiq menerima simbolik penyerahan watikah pelantikan daripada Naib
Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim pada Majlis Penyerahan
Watikah Pelantikan Sesi 2020/2021 dan Penghargaan MPP UTeM Sesi 2018/2019
ini di Dewan Auditorium, Bangunan Canselori, kampus induk UTeM, Durian Tunggal,
Melaka, baru-baru ini.

Selain itu, Timbalan Yang Dipertua MPP UTeM, Muhammad Isa Ishak, Setiausaha
Agung MPP UTeM, Mohd Hasif Hamzi Mustaffi, Setiausaha Kerja, Nurul Khalida
Kasim dan Bendahari Kehormat MPP UTeM, Nur Syahira Yusra Md Samsuddin turut
menerima watikah pelantikan masing-masing.

Majlis itu turut menyaksikan bacaan ikrar oleh seramai 32 pelajar ahli MPP yang juga
barisan kepimpinan baharu MPP UTeM Sesi 2020/2021.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim mengucapkan
tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya dipilih sebagai MPP baharu.

Jelasnya, MPP juga bertanggungjawab dalam merancang dan mengendalikan
pelbagai aktiviti yang berfaedah bagi mewujudkan suasana kehidupan pelajar
universiti yang lebih ceria dan harmonis.

“Di samping itu, saya berharap agar peranan dan fungsi barisan MPP UTeM ini dapat
menjadi penghubung dan pengantara terbaik antara pihak universiti dan pelajar
dalam mengurus tadbir universiti,” katanya. – MalaysiaGazette