Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Satu kluster baharu dikenalpasti sebagai Kluster Sungai dikesan di Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster Sungai dikesan di sebuah pusat perubatan di negeri berkenaan.

Kes indeks (Kes ke-9455) kluster ini merupakan seorang anggota kesihatan di pusat perubatan tersebut, ujarnya.

“Beliau bergejala sejak 30 Ogos 2020 tetapi tidak mendapatkan rawatan. Ujian saringan Covid-19 dijalankan pada 5 September 2020 dan didapati positif.

“Kes kedua kluster ini (Kes ke-9456) merupakan anggota kesihatan di pusat perubatan di Kedah.

“Beliau juga merupakan kontak rapat kepada kes indeks. Beliau bergejala sejak 5 September 2020 dan mendapatkan rawatan di pusat perubatan yang sama,” kara Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes kedua kluster itu menjalani ujian saringan Covod-19 pada 5 September lalu dan didapati positif.

“Kedua-dua kes telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk diasingkan dan diberi rawatan,” jelas Noor Hisham.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan melihatkan 57 orang, katanya.

Tambah beliau, dua daripada jumlah itu dikesan positif dan 55 yang lain masih menunggu keputusan saringan. – MalaysiaGazette