Aksi Suci Nurr Qaisara Mohd Sofa Raazie, ketika menyanyi di Jamuan Hi -Tea Anak-Anak Kanser anjuran Arka Melium Resources @ Founder Paru Rangup dengan kerjasama Malaysia Gazette di Dewan Saleha, Plaza Rah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Biarpun umurnya masih kecil dan melalui kehidupan yang rumit kerana keluar, masuk hospital untuk menerima rawatan namun rasa kesakitan yang ditanggung oleh tubuh-tubuh kecil ini sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk menggapai cita-cita.

Berkongsi suka dan duka bersama-sama para doktor di wad, telah mendorong Suci Nurr Qaisara Mohd Sofa Raazib, 9; Allana Eizahra Muhammad Zulfadzli, 6, Nur Huda Kasih Zaini Azli, 10, untuk menjadi seorang doktor suatu hari nanti.

Anak-anak ini adalah antara pesakit dan survivor kanser di Hospital Tunku Azizah, Hospital Kuala Lumpur.

Suci Nurr Qaisara, 8, yang mempunyai masalah pembekuan darah sejak dilahirkan berkata, dia mahu menjadi seorang doktor gigi.

Anak ini yang petah bercakap dan suka menyanyi berkata, dia memilih kerjaya doktor gigi berbanding doktor perubatan lain kerana kerjanya lebih mudah.

“Kerja doktor lain susah, lepas tu nampak penat sebab tu saya nak jadi doktor gigi sebab ‘check’ gigi sahaja,” katanya penuh teruja.

Kalau dilihat dari luaran, siapa pun tidak sangka kehidupan Suci bukan mudah.

Akibat masalah kesihatan yang dihadapinya menyebabkan sebelah kanan matanya rosak dan perlu dibuang. Dia kini menggunakan mata batu.

Anak ini sama sekali tidak boleh jatuh atau terlanggar apa-apa kerana boleh menyebabkan tubuhnya lebam dan membengkak.

Suci Nurr Qaisara Mohd Sofa Raazie

Andai terjatuh dan berdarah, darah sukar dihentikan dan perlu segera dirujuk ke hospital.

Ketika disoal, Suci yang senang diajak borak berkata, di sekolah dia meminati mata pelajaran seni.

”Saya suka seni, macam-macam cikgu ajar. Melukis, mewarna, buat anyaman menggunakan straw,” katanya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Cacat Penglihatan di Jalan Batu.

Allana Eizahra Muhammad Zulfadzli

Sementara itu, Allana Eizahra pula memberitahu, dia mengagumi Dr Anita yang selalu merawatnya.

“Dr Anita baik, selalu buat saya gembira. Saya nak jadi doktor macam Dr Anita,” katanya yang merupakan pengidap penyakit leukimia tahap 4.

Dia dikesan menghidapi penyakit itu pada tahun lalu dan kini masih menerima rawatan.

Seorang kanak-kanak yang periang dan lebih senang berbahasa Inggeris, Allana mengakui dia sakit tetapi berjanji untuk menjadi kuat.

“Allana nak sihat, saya hendak ke sekolah,” katanya sambil tersenyum.

Nur Huda Kasih Zaini Azli bersama ibunya, Maizatul Karimah Junus.

Kalau Allana menyayangi Dr Anita, Qaseh pula menjadikan Dr Teh sebagai doktor idolanya.

“Saya suka Dr Teh, dia baik,” ujarnya perlahan.

Qaseh adalah survivor kanser, dikesan mengalami leukimia pada tahun 2014 ketika berusia 4 tahun.

Meskipun keadaannya bertambah baik, Qaseh dipantau secara rapi kerana antibodinya masih rendah.

Disebabkan itu, pemakanan Qaseh perlu dijaga rapi.

“Qaseh kena makan makanan yang dimasak lebih dari sejam dan tidak boleh lasak,” kata ibunya, Maizatul Karimah Junus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast