Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman Shafie Apdal appeal
Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman

PUTRAJAYA – Keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah penghujung bulan ini dipersoalkan memandangkan negara masih lagi dilanda pandemik Covid-19.

Selain itu, tempoh lima tahun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu hanya tamat pada 2023, jadi mengapa ianya satu keperluan ketika ini.

Itu hujah peguam bela bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin ketika prosiding permohonan menggantung keputusan Mahkamah Tinggi Sabah berkaitan pembubaran DUN di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kata Firoz, pilihan raya baharu sahaja di adakan dua tahun lepas dan kini ianya mahu diadakan lagi dalam tempoh kurang daripada lima.

“Kenapa perlu PRN ketika kita masih sedang bergelumang dengan pandemik Covid-19? Sedangkan tempoh lima tahun hanya tamat pada 2023,” soalnya di hadapan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian hari ini.

Selain mewakili Musa Aman, Firoz turut mewakili 32 Ahli Dewan Undangan (ADUN) yang turut mengemukakan permohonan menggantung pembubaran DUN di negeri itu.

Sebelum ini, Ogos lalu, Musa Aman bersama yang lain merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Berikutan pembubaran DUN, SPR menetapkan 12 Sept tarikh penamaan calon dan 26 Sept tarikh pengundian bagi pilihan raya umum Sabah ke-16.

Sambung Firoz lagi ketika berhujah, sebenarnya Ketua Menteri Sabah (sementara), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebenarnya sudah tidak mempunyai hak untuk menasihati TYT untuk pembubaran DUN pada 29 Julai lalu.

Jelas Firoz, Mohd Shafie sebenarnya hilang sokongan majoriti 65 wakil rakyat (terpilih serta di lantik) bagi terus menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri.

“Musa telah mengemukakan akuan berkanun 33 Adun kepada Istana dan berkumpul untuk menemui TYT pada tarikh yang sama namun malam itu Shafie pula telah menemui Gabenor terlebih dahulu.

“Pada keesokan harinya, TYT telah tandatangani surat pembubaran tersebut. Sepatutnya TYT menggunakan budi bicara beliau setelah mendapati Shafie yang menemui pada hari itu tiada lagi sokongan majoriti Adun.

“Ini adalah perkara yang melibatkan isu perlembagaan, patutnya TYT guna budi bicara seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan bukannya sekadar main peranan sebagai penanda tangan cop mohor sahaja,” tegasnya.

Pada 21 Ogos lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menolak permohonan semakan kehakiman oleh pihak-pihak ini kerana keputusan TYT tidak boleh di adili dalam mahkamah.

Jelas David Shim ketika itu, pada 1986 telah menyaksikan bagaimana TYT ketika itu Adnan Robert membenarkan pembubaran DUN dalam tempoh setahun selepas PRN sebelum itu selepas mendapat permohonan daripada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Prosiding permohonan akan bersambung tengah hari esok sebelum sebarang keputusan berhubung pembubaran ini dapat di tentukan. –MalaysiaGazette