Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kekerapan gangguan bekalan air di Lembah Kelang mungkin tidak seburuk sekarang sekiranya pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 tidak ditangguhkan.

Sekurang-kurangnya jika berlaku pencemaran atau sebarang permasalahan, pengguna air Lembah Kelang mempunyai sokongan lain yang dapat mengurangkan impak gangguan.

LRA Sungai Selangor adalah loji terbesar dan mengagihkan 60% air kepada penduduk Selangor.

Lantaran itu, apabila muncul masalah, sudah pasti banyak kawasan akan mengalami gangguan bekalan air kecuali ia mempunyai margin simpanan yang banyak.

Sebagai contohnya, kejadian pencemaran Sungai Gong baru-baru ini yang mengakibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 serta Rantau Panjang terpaksa ditutup.

Penutupan operasi ini menyebabkan margin air di kawasan berkenaan hanya tinggal sekitar tiga dan lima peratus sahaja.

“Dengan jumlah ini mana cukup untuk menampung kegunaan pada saat-saat kecemasan, sebab itulah berlaku gangguan bekalan air secara besar-besaran,” kata Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran.

Menurutnya, episod duka penduduk Lembah Kelang marah kerana bekalan air tiba-tiba terhenti dan terpaksa beratur menadah air mungkin tidak berlaku sekiranya LRA Langat 2 sudah beroperasi.

“Tetapi kita hendak buat macam mana disebabkan terlalu banyak politiking, akhirnya rakyat yang merana,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, walaupun LRA Langat 2 sudah lebih 80% siap tetapi masalahnya sistem paip untuk menyalurkan air bersih masih belum dibuat.

”Inilah masalahnya menyebabkan operasi LRA Langat 2 ditunda pada tahun 2021 dan 2022.

“Jadi, kita sama-samalah berdoa agar pencemaran yang berlaku baru-baru ini adalah terakhir, jika tidak penduduk Lembah Kelang akan berdepan lagi dengan masalah air.

“Kerajaan tiada pilihan lain, selain menyiapkan semua kerja-kerja LRA Langat 2 dengan segera sebagai jalan penyelesaian jangka pendek,” tambahnya.

LRA Langat 2 yang merangkumi 23 pakej membabitkan kawasan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Petaling Jaya, Bandar Kinrara, Ampang serta Keramat AU3 mampu membekalkan 1,130 juta liter air sehari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast