Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 6.30 pagi tadi, semua 290 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air di wilayah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya.

Sebanyak 136 kawasan lagi masih dalam proses pemulihan.

Ia melibatkan empat wilayah iaitu Klang/Shah Alam, Gombak, Petaling dan Kuala Lumpur.

Pengurusan Air Selangor berkata, secara keseluruhannya sejumlah 1,156 kawasan telah pulih sepenuhnya dari 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 serta Rantau Panjang pada 3 September lalu.

Henti tugas itu selepas berlaku pencemaran di Sungai Gong.

Air Selangor berkata, sebanyak lapan kawasan dalam Kumpulan 1 masih belum pulih sepenuhnya walaupun dimaklumkan pulih pada jam 12 tengah malam semalam.

Manakala 54 kawasan yang berada dalam Kumpulan 2 juga masih belum mendapat bekalan sepenuhnya 12 malam tadi.

Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan 1 dan 2 yang belum pulih.

Pengguna dinasihatkan tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar. – MalaysiaGazette