Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menganggap tuduhan tambahan dikenakan terhadapnya di mahkamah merupakan kemenangan moral kepada pasukan pembelaannya.

Ini kerana, pertuduhan terhadapnya telah dipinda pihak pendakwaan yang mana amaun tuduhan dikenakan telah dikurangkan daripada RM140 juta kepada RM14 juta.

“Tiada satupun tuduhan melibatkan Tabung Haji (TH). Usaha pelbagai media mengaitkan jawatan lama saya selaku pengerusi institusi tersebut dengan kes sedang berjalan adalah propaganda politik tidak bermoral.

“Walaupun berkali-kali telah saya nyatakan bahawa tiadanya pendakwaan berkaitan dengan wang TH.

“Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, pihak kami akan meneliti segala fakta kes dan hujahan pendakwaan dari semasa ke semasa. Saya tidak akan menjawab di luar mahkamah bagi mengelak unsur subjudis,” katanya di Facebook hari ini.

Abdul Azeez memperjelaskan fakta itu selepas ramai bertanya tentang tambahan tuduhan pendakwaan ke atasnya yang dakwanya tidak dilaporkan media.

“Saya merupakan ahli perniagaan sebelum menceburi bidang politik. Bagaimanapun, saya bersyukur atas perkembangan terbaru ini dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat yang tidak jemu menadah tangan berdoa untuk keselamatan dan kelancaran urusan saya.

Perbicaraan kes membabitkannya semalam menyaksikan bekas pengerusi TH itu berdepan satu lagi pertuduhan tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan (AMLA) 2001.

Beliau sebelum ini berdepan sembilan pertuduhan di bawah AMLA 2001 kerana didakwa menerima hasil haram daripada Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi itu pihak pendakwaan membuat satu lagi tambahan pertuduhan.

Ia membabitkan pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Baling itu menerima kereta Toyota Vellfire bernilai lebih RM400,000 daripada syarikat berkenaan.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Nampaknya pendakwaan yang asal tidak menjadi ubah kepada pendakwaan yang satu lagikononnya supaya dapat mensabitkan kesalahan seseorang.sepatutnya apa yang asal itulah didakwa dan dibicarakan jika ada bukti kes lain bawalah dihari yang akan datang.ini seumpama pujuk tidak menjadi terpaksa gunakan cara paksaan .

Comments are closed.