Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Kajian terhadap pembangunan projek ‘dron’ atau ‘super dron’ tidak pernah dihentikan.

Malah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian ke arah teknologi itu masih diteruskan.

“Kita tak hentikan teknologi ini, tapi kajian masih dibuat oleh pihak berkenaan di bawah MOSTI bukan dibawah kementerian kita,” katanya kepada media melepas merasmikan Mesyuarat Agung Permulaan (MAP) Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Berhad di Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Wan Junaidi berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan daripada segi teknologi super dron kerana ia perlu diceburi oleh para usahawan di negara ini.

“Kita tidak boleh ketinggalan dari sudut super dron dan kita mengetahui dan mendalami ilmu teknologi ini kerana ilmu ini akhirnya disitu terletak juga dron yang boleh bawa penumpang.

“Bukan kereta terbang tapi istilah itu digunakan secara antarabangsa dalam mana-mana badan di dunia termasuk Amerika Syarikat tapi sebenarnya teknologi super dron,” katanya lagi.

Ogos lalu, Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada pembangunan super dron sebaliknya memberikan keutamaan kepada pembangunan usahawan yang terjejas akibat pendemik Covid-19.

Beliau juga berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mencapai hasrat dan matlamat yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Isu super dron sebelum ini disentuh semula pada persidangan Dewan Rakyat pada Ogos lalu apabila Wan Junaidi berkata beliau tidak mengetahui tentang dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (Aerodyne).

Malah beliau tidak boleh memperincikan dana tersebut kerana ia sudah disumbangkan kepada pihak tertentu untuk projek kereta terbang.

November tahun lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa pihak berkuasa mengaudit pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada Aerodyne.

Menerusi laporan PAC berkaitan projek kereta terbang, jawatankuasa itu memaklumkan syarikat tersebut merupakan sebuah firma swasta yang dikaitkan dengan projek berkenaan.

Menurut jawatankuasa itu, dana itu disalurkan kepada Aerodyne melalui syarikat dikenali sebagai VentureTech Sdn Bhd (VentureTech), sebuah anak syarikat Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menurut laporan itu lagi, Ahli Lembaga Pengarah VentureTech meluluskan pelaburan RM20 juta bagi membangunkan pusat pemprosesan data di Cyberjaya, pusat penyelidikan dan pembangunan serta ‘perbelanjaan lain ‘termasuk membeli beberapa dron.

Untuk rekod, projek kereta terbang atau super dron ini diilhamkan bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH). – MalaysiaGazette