Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – MCA akan meletakkan calon dalam kalangan rakyat tempatan jika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ini kerana, MCA tidak akan sesekali meletakkan calon “bidan terjun” sekiranya bertanding pada PRN tersebut, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, tidak mungkin MCA akan mengambil calon dari Semenanjung kerana parti itu sendiri sudah berada di negeri bawah bayu itu sejak 29 tahun lalu.

“Kalau PRN di Sabah takkan saya mahu letak orang daripada Semenanjung. Tidak ada bidang terjun orang dari Semenanjung pergi bertanding, parti lain saya tidak taulah.

“Saya rasa dalam struktur organisasi parti saya ke semua 25 bahagian ada bakat tempatan.

“Orang Sabah memang tahu dan sudah lama kita duduk di sana dah hampir 29 tahun kita ke sana. Jadi tidak ada sebab dalam tempoh 29 tahun kita tak dapat orang tempatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Penggredan Institut Memandu Siri Dua di sini, hari ini.

Sebelum ini Ka Siong menegaskan, MCA komited untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dalam PRN Sabah.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerja dalam satu pasukan dengan BN dan PN ketika berkempen dalam PRN berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan, BN dikatakan sudah mendapat persetujuan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 30 kerusi sementara 20 kerusi pula diperuntukkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Baki jumlah kerusi yang dipertandingkan itu kini masih dalam proses rundingan akhir, yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum hari penamaan calon 12 September ini.

DUN Sabah kini mempunyai 73 kerusi, pertambahan sebanyak 13 lagi kerusi berbanding 60 ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Takde bidan terjun ..tapi tugas awak dlm kerajaan PN/MN ini tolong sekeh sikit kepala2 mangkuk parti2 rasist perkauman UMNO PAS BERSATU ni supya yg cuba nak besar kepala nak hapuskn sk vernakular,haramkn arak,kebebasan agama dn seterusnya UEC harus di iktiraf sbg perperiksaan awam di malysia,.ini adalh KPI kpd anda..buktikn yg MCA lebih berani daripda DAP bangang yg tak tunaikn janji mengiktiraf UEC ini..

Comments are closed.