Petugas hospital, Nik Zulia Asma Mohd Zaki melakukan ujian terhadap sampel cecair saringan orang awam bagi mengesan kes positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas dikejutkan dengan kenaikan mendadak kes jangkitan baharu Covid-19 sebanyak 100 kes semalam, angkanya kembali menurun pada hari ini kepada 24 kes pada hari ini.

Sebanyak tujuh kes yang telah pulih dengan jumlah ke aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 312 manakala jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,143 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 24 kes baharu yang dilaporkan, enam kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara dan tiga warga asing.

“Daripada enam kes import itu dua kes yang baru pulang dari Bangladesh masing-masing dilaporkan di Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Manakala dua kes dilaporkan di Sabah iaitu masing-masing satu kes yang pulang dari China dan Indonesia, satu kes dari Singapura di Sarawak dan satu lagi kes yang pulang dari Korea Selatan dilaporkan di Selangor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes import yang melibatkan bukan warganegara telah memasuki Malaysia sebelum pelaksanaan sekatan kemasukan yang mula berkuatkuasa pada 7 September lalu.

Ujarnya, dua kes dari Bangladesh tiba ke negara ini pada 6 September lalu dan telah disaring pada hari yang sama manakala satu kes dari China pula tiba di negara ini pada 5 September lalu sebelum disaring sehari selepas itu.

Jelas beliau, keputusan ujian saringan mereka dilaporkan positif Covid-19 hari ini dan begitu juga dengan beberapa kes import yang dilaporkan pada 8 September lalu.

“Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua adalah warga asing.

“Perincian kes adalah kesemua 16 kes positif itu dilaporkan di Kedah membabitkan 13 kes adalah daripada kluster Sungai, manakala tiga lagi kes masing-masing mewakili kluster Tawar, kluster Tawar dan kluster Telaga; dan satu kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Manakala Sabah turut merekodkan dua kes daripada Kluster Benteng LD,” ujarnya.

Menurut Dr. Noor Hisham, sehingga kini terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau memberitahu tiada pertambahan kes kematian pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 128 kes atau 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette