PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Dua lelaki yang merupakan ejen judi tambah nilai dalam talian (online) ditahan ketika sedang menjalankan urus niaga dalam sebuah kereta di belakang premis yang telah dikunci polis kerana menjalankan kegiatan haram tersebut di Permatang Bendahari, Penaga dekat sini hari ini.

Sepasukan polis yang diketuai Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor sedang menjalankan operasi pemotongan elektrik premis perjudian di daerah itu termasuk di kawasan Permatang Bendahari sebelum mendapati dua lelaki tersebut berada dalam kereta.

Noorzainy berkata, dalam operasi pada 10.30 pagi itu, dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun itu cuba melarikan diri sebaik mendapati kehadiran polis namun mereka tidak berjaya kerana pihaknya mengepung kawasan itu terlebih dahulu dan pemeriksaan menemukan dua telefon bimbit serta sejumlah kertas catitan.

“Polis dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke kawasan itu (Permatang Bendahari) untuk memotong bekalan elektrik sebuah premis perniagaan di situ yang dijadikan tempat sindiket perjudian tambah nilai dalam talian.

“Sebaik kami tiba, terdapat dua lelaki dalam sebuah kereta di belakang premis itu dan mereka yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri namun tidak berjaya, siasatan mendapati dua lelaki tersebut menjadikan kenderaan berkenaan sebagai lokasi untuk menjalankan urus niaga judi online selepas premis tersebut ditutup (polis) yang dalam proses pemotongan bekalan elektrik,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, premis rumah kedai setingkat yang dijadikan lokasi mereka menjalankan perjudian dalam talian itu telah diserbu tiga kali sebelum ini dan ia dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kawasan tersebut bagi memastikan hanya pelanggan tetap sahaja boleh berurusan dengan ejen di situ.

“Terdapat satu tingkap khas di bahagian belakang premis itu untuk pelanggan mereka menjalankan urus niaga, jika orang yang datang tidak dikenali tingkap yang diubah suai menjadi kaunter itu akan ditutup dan ia hanya dibuka kepada pelanggan tetap sahaja,” katanya.

Katanya dua lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan polis juga sedang mengesan ketua sindiket bagi membantu siasatan kerana difahamkan dia mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan dengan hanya menjalankan kegiatan perjudian tersebut.

Sementara itu, beliau berkata, sejak 3 Julai hingga hari ini, 44 premis perniagaan telah dipotong bekalan elektrik kerana menjalankan kegiatan loteri awam haram (ekor haram) dan perjudian tambah nilai dalam talian, menerusi Ops Dadu Khas.

Katanya, kebanyakan premis termasuk 10 yang dipotong bekalan elektrik itu pernah diambil tindakan dan diserbu dua hingga tiga kali sebelum ini kerana kesalahan yang sama namun masih menjalankan kegiatan itu berikutan mampu mengaut keuntungan lumayan dengan mudah.

“Dalam Ops Dadu Khas itu, polis turut membawa pegawai pakar judi bagi membantu kami dan berdasarkan siasatan kegiatan perjudian tersebut menjalankan operasi dengan cara berselindung di sebalik perniagaan kedai menjual pakaian, rumah kedai serta telefon bimbit,” katanya. – Bernama