Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Empat Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan kes arahan kuarantin wajib Covid-19 oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keterangan saksi terakhir bagi membantu siasatan kes itu sudah direkodkan semalam.

“Mungkin esok kita serahkan kertas siasatan itu kepada AGC (Jabatan Peguam Negara), mereka akan meneliti bukti dan kenyataan sedia ada dalam fail siasatan.

“Ketika ini lebih 10 orang saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan oleh polis. Saksi terakhir bagi kenyataan pada hari semalam,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata demikian selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Empat Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di PDRM, di sini.

Mengulas lanjut mengenai siasatan ke atas Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan polis awam ke atas pemimpin Pas itu.

Katanya, polis sudah menerima beberapa laporan tentang kenyataan video yang dikeluarkan wakil rakyat itu.

“Kertas siasatan juga sudah dibuka untuk siasatan lanjut dan proses ambil keterangan saksi kini giat dijalankan.

“Kami kini cuma menunggu laporan akhir dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan medium yang digunakan individu itu untuk menularkan video berkenaan sebelum tindakan lanjut polis,”katanya.

Pada Ogos lalu, tiga ahli DAP Sarawak membuat laporan polis terhadap Muhammad Zawawi berhubung isu kenyataannya berkenaan kitab Injil.

Laporan itu dibuat oleh Brolin Nicholson yang merupakan pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak, Anggota Parlimen Stampin Julian Tan dan anggota pemuda DAP negeri Anthony Chin di Balai Polis Sekama di Kuching, semalam – MalaysiaGazette