Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyaksikan menyaksikan penyerahan tugas jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dari Datuk Ramli Din (kiri) kepada Datuk Razarudin Husain (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Empat Pengarah Jabatan dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pelantikan empat pengarah baharu bagi mengisi jawatan di beberapa jabatan di Bukit Aman dibuat berdasarkan rekod kepimpinan cemerlang dan kelayakan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pelantikan berkenaan adalah proses peralihan pucuk kepimpinan jabatan berkonsepkan ‘putting right man for the right job and at the right time’.

Katanya, keempat-empat pegawai kanan berkenaan termasuk dua daripadanya adalah bekas Ketua Polis negeri , mempunyai rekod kepimpinan yang cemerlang dan layak untuk meneruskan kecemerlangan DRM ke tahap lebih tinggi.

Empat Jabatan yang menyaksikan pengarah baharu adalah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Pengurusan dan Jabatan Logistik dan Pengurusan Teknologi.

Dengan pelantikan itu, Komisioner Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar mengambil alih kepimpinan KDNKA dan Komisioner Datuk Ramli Din sebagai pengemudi baharu Jabatan Pengurusan di Bukit Aman.

Pelantikan ini adalah keputusan yang diabsahkan tepat kerana trek rekod mereka yang cemerlang ketika mengemudi jabatan masing-masing sebelum ini.

Begitu juga kenaikan pangkat dan pelantikan Komisioner Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain sebagai Pengarah JSJN baharu dan Datuk Seri Mazlan Lazim mengemudi Jabatan Logistik.

“Justeru tanggungjawab yang kita galas sebagai ketua mahupun pemimpin adalah amat berat umpama besarnya bukit dan gunung ganang bagi memastikan PDRM kekal relevan sebagai agensi induk menjaga keamanan dan keselamatan dalam negara,” katanya di majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Bukit Aman di Maktab PDRM Cheras hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas majlis, Abdul Hamid berkata, rombakan jabatan dilaksanakan selepas pelantikan Acryl Sani sebagai timbalannya pada bulan lalu.

“Harap mereka mampu menjalankan tanggungjawab dan kewajipan mengelapai jabatan dengan jaya.

Ditanya mengenai kenaikan pangkat Razarudin sebagai Pengarah Narkotik Bukit Aman, Abdul Hamid berkata, Ketua Polis Perak itu berpengalaman luas dalam bidang jenayah.

“Beliau (Razarudin) sudah lama bertugas di jabatan itu, selain sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah dan Ketua Polis Perak dan kini diperlukan di Bukit Aman sebagai Pengarah Narkotik kerana dia memahami keadaan di bawah serta dengan ‘style’ ketegasannya dalam tugas,” ujar beliau.

Beliau juga menyifatkan pelantikan Mazlan Lazim untuk mengepalai logistik juga disebabkan berkelulusan bidang sama. – MalaysiaGazette