Bangunan Parlimen. foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri Sabah akan berlangsung pada 26 September manakala Sarawak dilaporkan mungkin menyusul dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pembentangan bajet negeri pada November.

Di peringkat Persekutuan pula, spekulasi bertiup bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mencadangkan pembubaran Parlimen seawal Oktober, tetapi kemungkinan itu ditolak dua orang menteri Kabinet.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan Perikatan Nasional berkemungkinan hanya akan mempertimbangkan tarikh keramat untuk memanggil pilihan raya umum selepas meneliti keputusan pilihan raya negeri Sabah dan Sarawak.

Beliau juga percaya bahawa mesyuarat Parlimen pada akhir Oktober dan awal November akan diteruskan.

“Mengenai sama ada pembubaran akan berlaku semasa mesyuarat Parlimen tengah berlangsung, saya tidak tahu.

“Ini (tarikh pembubaran) bergantung kepada dua pilihan raya negeri yang akan dijalankan dengan jarak masa yang tidak besar sangat.

“Saya percaya keputusan dua pilihan raya negeri ini akan memberi impak kepada penentuan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15,” katanya kepada Sinchew Daily.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membayangkan bahawa kerajaan akan memastikan Bajet 2021 diluluskan sepenuhnya, yakni tidak akan melakukan penundaan.

Beliau berkata, Bajet 2021 menjadi sangat penting disebabkan tempias daripada COVID-19.

“Saya fikir mesyuarat Parlimen akan dijalankan mengikut rancangan dan mesyuarat seterusnya akan diadakan tidak lama lagi. Kami akan kembali (ke Parlimen) untuk proses bajet.

” Yang pasti, bajet ini sangat penting buat semua orang kerana kami perlu meneliti ruang perbendaharaan sebenar yang ada.

“Saya percaya Menteri Kewangan sedang berinteraksi dengan semua pihak berkepentingan untuk mendapat cadangan mengenai bagaimana kita dapat mara ke depan,” katanya. – MalaysiaGazette