Mohd Shahar Abdullah

KUALA LUMPUR – Indikator awal bulan Julai menunjukkan prestasi ekonomi kini berada pada fasa pemulihan yang lebih baik berbanding bulan tiga bulan lalu.

Antara indikator yang telah meningkat berbanding prestasi pada bulan Jun 2020 termasuklah kenaikan kadar eksport 3.1% dari tahun-ke-tahun; jualan kereta penumpang mencatat kenaikan 27.3%; jualan kenderaan perdagangan melonjak 44.8%; pergerakan penumpang domestik melonjak 215.8% dan
jumlah kenderaan di lebuh raya bertol meningkat 7.4%.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, berdasarkan unjuran prestasi separuh kedua tahun 2020 yang lebih baik ini, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan tahun 2020 dijangka antara negatif 5.5% hingga negatif 3.5%.

Manakala pada tahun 2021, ekonomi dijangka berkembang sekitar 5.5% hingga 8%.

”Kerajaan akan terus memperkemas dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan merancakkan ekonomi,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Husin Awang yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah strategik kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara serta meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang suku keempat tahun ini.

Ekonomi Malaysia mengalami penguncupan signifikan dalam tempoh suku kedua tahun 2020, yang mana hampir keseluruhan sektor perniagaan tidak dapat
beroperasi susulan perintah kawalan pergerakan.

KDNK telah mengecil daripada 28.6% pada bulan April kepada 19.5% pada bulan Mei dan seterusnya penguncupan yang lebih kecil kepada paras 3.2% pada bulan Jun.

Mohd Shahar berkata, prestasi semasa menunjukkan berlakunya pemulihan ekonomi sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi bermula pada bulan Mei yang lalu dan proses pemulihan ini dijangka berterusan terutamanya dalam tempoh separuh kedua tahun 2020.

“Penularan Covid-19 bukan hanya memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, malahan kepada seluruh dunia. Semua sektor utama ekonomi telah terjejas akibat penularan wabak ini.

”Melihat kepada keadaan ini, kerajaan telah bertindak proaktif dengan melaksanakan pelbagai pakej rangsangan ekonomi untuk memulihkan ekonomi negara.

Kerajaan akan terus memperkemas dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, menyokong perniagaan dan merancakkan ekonomi,” ujarnya. – MalaysiaGazette