Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap agar proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ke-16 yang dijadualkan pada hari Sabtu ini berjalan lancar tanpa apa-apa insiden tidak baik, khususnya yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Dalam kenyataan di sini, SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon.

Penyokong-penyokong parti politik yang diwakili oleh bakal-bakal calon tidak dibenarkan hadir ke pusat penamaan calon.

Malah, aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang Hari Penamaan Calon.

Menurutnya, pada Hari Penamaan Calon, kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari jam 9 pagi sehingga 10 pagi
kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 73 Bahagian Pilihan Raya.

Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menyeru kepada bakal-bakal calon yang bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum Hari Penamaan Calon.

Selain itu bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

Tambahnya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.