Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Rizal Mansor hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menerima wang tunai RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan kontrak bagi projek solar hibrid di Sarawak.

Bekas pegawai khas Rosmah itu berkata, wang tunai masing-masing RM5 juta dan RM1.5 juta telah dihantar kepada Rosmah secara berasingan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada penghujung Disember 2016 dan di Langgak Duta, di sini, awal September 2017.

Rizal, 46, berkata, pada penghujung Disember 2016, Saidi telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau bersedia membayar RM5 juta iaitu sebahagian daripada wang RM187.5 juta yang telah dijanjikan untuk diberikan kepada isteri bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, Rosmah kemudian telah mengarahkannya menghantar wang berkenaan ke kediaman rasminya di Seri Perdana kerana beliau berada di rumah berkenaan ketika itu dan apabila tiba di kediamannya, Rosmah mengarahkan dua ‘butler’nya (pelayan) untuk membawa kedua-dua bagasi yang mengandungi wang tunai RM5 juta masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Saya kemudian telah berjumpa Datin Seri Rosmah bersama kedua-dua bagasi tersebut. Beliau kemudian bertanya kepada saya “berapa”? dan saya jawab “lima” bermaksud RM5 juta. Datin Seri Rosmah tidak membuka kedua-dua bagasi itu dan mengarahkan butler beliau untuk menghantar beg-beg tersebut ke dalam biliknya (Rosmah). Saya kemudian beredar dari situ,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, beberapa hari selepas itu, beliau ada bertanyakan kepada Rosmah sama ada beliau berpuas hati atau tidak dengan penerimaan wang tunai RM5 juta daripada Saidi.

“Beliau (Rosmah) telah memberitahu saya bahawa beliau memerlukan wang yang banyak untuk tujuan politik dan telah mengatakan kepada saya lebih kurang “pandai-pandailah minta dia orang jaga you”. “Dia orang” yang dimaksudkan merujuk kepada Saidi dan Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah adalah rakan kongsi Saidi).

“Saya dapat rasakan bahawa beliau (Rosmah) berkata begitu kerana menyangka saya ingin meminta sedikit bahagian daripada wang itu untuk diri saya sendiri sebagai upah. Datin Seri Rosmah tidak tahu bahawa Saidi telah berjanji untuk memberikan RM25 juta kepada saya dan saya telah menerima sejumlah RM500,000 pada masa itu,” katanya.

Rizal berkata, selepas menerima RM5 juta itu, Rosmah kerap bertanya kepadanya berkenaan baki pembayaran yang perlu dibuat oleh Jepak kepada isteri bekas perdana menteri tersebut.

“Saya menerima soalan-soalan tersebut (daripada Rosmah) sebagai satu arahan kepada saya untuk mempercepatkan proses bagi mendapatkan baki pembayaran yang telah dijanjikan. Oleh sebab itu, saya ada beberapa kali mendesak Saidi untuk membayar baki tersebut kepada Datin Seri Rosmah dengan segera,” katanya.

Menurut saksi utama pendakwaan itu, Saidi juga pernah memaklumkan kepadanya bahawa beliau ada membawa wang tunai RM1.5 juta dalam dua beg galas yang kemudiannya diletakkan di ruang tamu kedua rumah Rosmah di Langgak Duta pada awal September 2017.

“Saya juga nampak Datin Seri Rosmah mengarahkan butler beliau untuk membawa dua beg galas yang dibawa oleh Saidi ke dalam biliknya,” katanya.

Sementara itu, Rizal berkata beliau mempunyai pengetahuan mengenai pertelingkahan yang berlaku antara Saidi dan Rayyan selepas Saidi tidak membayar bahagian yang dituntut oleh Rayyan dalam projek solar hibrid tersebut.

“Apa yang saya faham ialah Saidi telah melesapkan duit mereka dan Rayyan meminta saya untuk menceritakan salah laku Saidi kepada Datin Seri Rosmah. Saya telah meminta Rayyan untuk menyelesaikan sendiri masalahnya dengan Saidi dan saya tidak mahu berpihak kepada sesiapa dalam pergaduhan itu.

“Oleh kerana saya enggan menyokong Rayyan, beliau telah mengugut saya dengan menyatakan beliau akan membongkarkan penglibatan Datin Seri Rosmah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Aazmey (Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Pahang, Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib) dan saya sendiri dalam penganugerahan projek solar hibrid kepada Jepak.

“Rayyan juga pernah beritahu saya bahawa beliau akan memastikan saya dipenjarakan atas penglibatan saya di dalam perkara itu,” katanya.

Menurut Rizal, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dan selepas pendedahan dibuat oleh Sarawak Report, beliau telah disiasat berkenaan penglibatannya dalam penganugerahan projek solar kepada Jepak.

“Setelah saya mendapat tahu Saidi dan Rayyan ditahan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya panik dan membuat keputusan untuk melarikan diri ke Jakarta. Saya akhirnya mengambil keputusan untuk balik ke Malaysia selepas saya tahu saya tidak boleh melarikan diri selama-lamanya dan perlu menghadapi keadaan ini.

“Pada hari saya hadir ke SPRM (untuk disiasat), saya telah ditahan dan direman selama enam hari. Seterusnya, saya telah dituduh di mahkamah atas empat pertuduhan,” katanya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa menerima suapan menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid, serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin ini. – Bernama