Syamel Aqmal

KUALA LUMPUR – Tiada apa yang dapat dizahirkan selain perasaan bangga dan gembira apabila diberi kesempatan menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan negara.

Menyifatkannya sebagai satu penghargaan yang besar, penyanyi Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly menganggap peluang itu sebagai sesuatu yang bererti dalam hidup kerana dapat memberi sumbangan kepada negara.

“Bukan sekali, tetapi tiga kali…jujurnya saya sangat bangga kerana dengan nyanyian juga merupakan satu cara untuk menyatakan rasa cinta kepada negara.

“Secara tidak langsung, saya juga membantu meniup semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan anak muda,” katanya kepada Bernama.

Syamel yang pernah menyanyikan lagu tema Hari Kebangsaan pada 2017 dan 2019 iaitu ‘Sehati Sejiwa’ dan ‘Malaysia Bersih’, terpilih sekali lagi tahun ini untuk menyanyikan lagu ‘Malaysia Prihatin’ versi simfoni ciptaan dan gubahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail serta lirik oleh El Sol Akhmad.

Selain Syamel, lagu Malaysia Prihatin turut menampilkan barisan penyanyi popular yang lain iaitu Alif Satar, Aina Abdul dan Siti Sarah.

“Lagu ini menerapkan ciri-ciri positif terutamanya nilai-nilai murni yang harus ada dalam setiap warganegaranya bagi mengukuhkan kembali asas-asas perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan terutama dalam memerangi musuh pada masa ini iaitu wabak COVID-19,” katanya.

Berbeza pula dengan Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi yang terkenal dengan lagu patriotik dan berkonsepkan kenegaraan untuk lagu tema Hari Kebangsaan seperti ‘Wawasan 2020’ (1991), ‘Malaysiaku Gemilang’ (2007), ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ (2008), ‘Satu Malaysia’ (2009) dan ‘Sejahtera Malaysia’.

Menurut penyanyi lagu ‘Kau Ratnaku’ ini, menyanyikan lagu patriotik perlu disertai dengan minat sebagai penyuntik semangat dan rasa kebertangungjawaban kepada negara.

“Semua lagu patriotik yang saya nyanyikan berentak ‘march’ dan orang Malaysia pula selalu menganggapnya sebagai lagu lama, lapuk dan ketinggalan zaman.

“Genre ‘march’ adalah satu rentak muzik yang kuat dan memerlukan perasaan mendalam selain perlu dinyanyikan dalam nada tinggi melalui teknik pernafasan yang betul,” katanya.

Mengakui genre ‘march’ sukar untuk dikuasai, Roy bagaimanapun bersyukur kerana memiliki suara emas itu biarpun terpaksa berkorban dengan nilai komersialnya dalam industri seni.

*Alhamdulillah, saya pun tidak sangka ada bakat sebegini. Saya gembira melakukannya, sekurang-kurangnya dapat berbakti kepada negara,” katanya menambah masih belum bertemu dengan pelapis sesuai dalam menyanyikan lagu genre berkenaan.

Namun, selari dengan peredaran zaman, Roy berkata lagu patriotik hari ini hadir dengan pelbagai genre muzik seperti pop dan rock yang disuntik dengan elemen baharu bagi memberi kesegaran sekali gus menarik minat golongan muda.

“Sememangnya, ia satu langkah yang menarik dan bagus kerana ia lebih mudah diterima pendengar. Namun, lagu patriotik berentak ‘march’ perlu ada kerana selain ia adalah lagu asas turun-temurun sejak 90-an, genre ini juga membantu menimbulkan semangat,” katanya.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast