Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Perkembangan hari ini menyaksikan sebanyak 45 kes baharu Covid-19 membabitkan 44 kes penularan tempatan dan satu kes import warganegara yang pulang dari Brazil, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, daripada 44 kes penularan dalam negara itu, 40 adalah daripada Kluster Benteng LD, Sabah yang melibatkan 33 bukan warganegara dan tujuh rakyat tempatan.

Baki empat kes  lagi direkodkan di Kedah iaitu dua kes daripada Kluster Telaga dan masing-masing satu kes daripada Kluster Telaga dan saringan bergejala di Klinik Kesihatan Simpang Kuala.

Kesemuany melibatkan rakyat tempatan.

Kata beliau, jumlah kes baharu itu juga turut menyaksikan jumlah positif Covid-19 bagi Kluster Benteng LD sehingga petang ini meningkat kepada 83 kes dengan 40 kes baharu, diikuti Kluster Sungai (39 kes, 1 kes baharu) dan Kluster Telaga (13 kes, dua kes baharu).

Mengenai kes Kluster Benteng LD, Sabah, Dr. Noor Hisham berkata, 40 kes baharu, 34 kes merupakan banduan penjara, manakala enam kes adalah ahli keluarga kakitangan penjara.

“Adalah dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes iaitu 1.33 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan wabak Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sehingga tengah hari ini juga, kes positif Covid-19 meningkat kepada 9,628, dengan 24 kes telah pulih.

Dengan itu, katanya, jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya sebanyak 9,167 kes iaitu 95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 333 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

“Sehingga kini, terdapat sembilan sembilan kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar, Kedah.

Katanya, PKPD secara pentadbiran itu dilaksanakan susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

“Pelaksanaan ini akan berkuatkuasa esok 11 September sehingga 25 September ini, manakala pelaksanaan PKPD secara pentadbiran di Amanjaya pula dilanjutkan sehingga Ahad ini (13 September 2020) bagi memastikan saringan ke atas penduduk di kawasan tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kita juga mengambil maklum keputusan pelaksanaan tindakan yang sama di kawasan penjara dan Kuarters Penjara di Tawau.

“Keputusan wajar dan tindakan bersepadu pelbagai agensi ini akan membantu pihak KKM untuk terus menjalankan kawalan kesihatan awam di ketiga-tiga kawasan ini,” ujarnya.

Oleh itu, beliau memohon kerjasama rapat penduduk setempat bagi memastikan tindakan itu berjaya memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19.

Mengenai risiko jangkitan import Covid-19 berikutan kemasukan pengembara, Dr. Noor Hisham berkata, sejak 3 April hingga semalam, jumlah yang masuk ke Malaysia seramai 119,268 orang.

Daripada jumlah itu, kata beliau, sebanyak 995 disahkan positif Covid-19, iaitu 742 kes dikesan ketika saringan ketibaan dan 253 kes dikesan daripada saringan kedua pada hari ke-13.

“Susulan kenaikan kes import Covid-19 ke dalam Malaysia, KKM telah membangunkan matriks penilaian risiko ke atas negara-negara di dunia bagi mengukur risiko pengimportan jangkitan it uke negara ini.

“Ini penting dalam membuat keputusan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan sempadan antarabangsa.

“Setiap negara dinilai berdasarkan kriteria di atas dan diletakkan dalam kategori risiko tertentu.

“Hasil penilaian ke atas semua 23 negara yang telah dikenakan sekatan perjalanan ke Malaysia didapati mempunyai risiko tinggi membawa masuk jangkitan Covid-19 ke dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata, kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit yang dibangunkan KKM dengan mengunapakai sumber data dari European Centre for Disease Prevention and Control (ECDC) dan Our World in Data. – MalaysiaGazette