KUALA LUMPUR – Pusat Perubatan Kedah (KMC) menangguhkan semua operasinya kecuali perkhidmatan haemodialisis untuk memastikan pembersihan dan pengawasan lebih lanjut.
Langkah itu dilakukan susulan dua kakitangannya disahkan mengalami jangkitan Covid-19 pada 8 September lalu.
Pengarah Perubatan KMC, Datuk Dr. Kamaruzaman Ali berkata, keputusan ini untuk melindungi semua pihak berkepentingan dengan lebih baik, terutamanya pesakit dan kakitangan.
Menurutnya, KMC yang menjadi sebahagian daripada komuniti Kota Setar komited untuk membantu orang ramai dalam menghadapi waktu-waktu mencabar.
“Lanjutan hospital adalah fasa lain dalam usaha kami melindungi orang ramai. Pihak hospital bersedia menjalani penangguhan ini walaupun ia mengambil satu langkah ke belakang untuk memeriksa semula kesediaan kami untuk mengambil pesakit,” katanya di sini.
Sehingga jam 2.30 petang tadi, seramai 658 kakitangannya telah menjalani ujian saringan.
Daripada jumlah itu 19 orang didapati positif Covid-19, tidak termasuk seorang lagi yang masih menunggu pengesahan, juga 20 ahli keluarga kakitangan tersebut.
“Mereka ini sudah dimasukkan ke hospital awal untuk rawatan,” ujarnya sambil memberitahu 339 lagi kakitangan disahkan negatif.
Jumlah kakitangan yang dikuarantin pula sebanyak 56 orang dan masih menunggu keputusan ujian 319 orang. – MalaysiaGazette