PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang kontraktor dan pemandunya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 67 Jalan Kuantan- Segamat di Pekan dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Razli Mohd Yusof berkata kejadian pada 11.30 malam  itu menyebabkan pemandu kenderaan Toyota Fortuner Muhammad Syauqi Azmi, 32, dan penumpang Ahmad Azhar Abdul Wahab, 58, maut di tempat kejadian.

Muhammad Syauqi yang berasal dari Alor Setar, Kedah manakala Ahmad Azhar beralamat di Raub, Pahang.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira dari arah Kuantan menghala ke Runchang, Pekan yang dipandu penyelia ladang berusia 26 tahun hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan mangsa.

“Impak pertembungan itu menyebabkan Toyota Fortuner berpusing  beberapa kali sebelum terbabas ke kanan jalan laluan menghala ke Segamat,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Razli berkata pemandu Proton Wira yang berasal dari Runchang, Pekan pula cedera di tangan dan belakang badan.

Jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat  dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta  Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA