Zuraida Kamaruddin

SUBANG – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Zuraida Kamarudin terkilan kerana golongan wanita agak terpinggir daripada senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Katanya,maklumat yang tular menunjukkan kurang 10 peratus calon wanita disenaraikan daripada keseluruhan 73 kerusi DUN yang bakal dipertandingkan kali ini.

“Yang saya dengar tadi kurang dari 0 peratus, bukan kurang 10 peratus. Saya pun tunggu soalan ini daripada anda (wartawan) supaya saya boleh menjawab Alhamdulilliah.

“Saya amat berharap mereka (pengurusan PN) meninjau balik (senarai akhir calon) kerana penamaan calon ialah hari Sabtu ini dan ada masa lagi untuk meletakkan calon-calon wanita.

“Kerana memang dari wanita, kita ada kemukakan berapa wanita yang berkaliber yang berkebolehan untuk bertanding kerusi DUN pada PRN kali ini.

“Jadi saya berharap kepimpinan parti parti yang bertanding dalam PRN Sabah ini memastikan ada calon wanita untuk diangkat menjadi wakil rakyat kerana wanita sekarang sudah mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia dan menyerahkan surat tawaran rumah PPR kepada 25 penggiat seni veteran negara di PPR Lembah Subang 2 hari ini.

Ditanya sama masih ada peluang untuk meletakkan calon wanita sedangkan Perikatan Nasional sudah memuktamadkan senarai calon, katanya: “Tidak mengapa sebelum penamaan calon sebelum terima watikah masih lagi ada harapan.”

Terdahulu bekas Ketua Wanita PKR Haniza Talha dalam kenyataan hari ini meminta PN mempertimbangkan semula senarai calon bertanding PRN Sabah sekiranya benar dakwaan bahawa bilangan calon wanita kali ini kurang 10 peratus. – MalaysiaGazette