Warga asing kini dibenarkan untuk melaksanakan ibadat di masjid dan rumah-rumah ibadat diagama lain dengan syarat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Warga asing kini dibenarkan untuk melaksanakan ibadat di masjid dan rumah-rumah ibadat diagama lain dengan syarat mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga membenarkan waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka telah ditetapkan sebelum ini sehingga jam 12 malam sahaja dilanjutkan hingga jam 2 pagi.

Menurutnya, kelulusan itu dibenarkan selepas terdapat rungutan dalam kalangan peniaga khususnya di kawasan pelancongan.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak membabitkan pusat-pusat hiburan.

Ditanya mengenai permintaan supaya premis-premis sukan dan rekreasi dibenarkan dibuka melebihi jam 12 malam, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dirujuk dalam mesyuarat nanti.

Walaupun pada dasarnya permintaan itu tiada halangan tetapi perkara itu perlu diputuskan oleh MKN.

Dalam sidang media tadi, Ismail Sabri turut menjelaskan mengambilkira potensi gelombang ketiga menjelang musim sejuk, kerajaan telah mengambil keputusan drastik untuk mengenakan sekatan perjalanan ke atas negara-negara yang berisiko tinggi.

Kriteria penilaian risiko pengimportan jangkitan Covid-19 adalah berdasarkan Scoring Board: Sistem Merit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengunapakai data dari Europe CDC dan Our World in Data.

Enam kriteria yang telah dikenal pasti adalah bilangan kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar insiden per 1 juta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar kematian 14 hari kebelakangan per 1 juta penduduk, kadar kematian kes kumulatif, indeks pemulihan dan kes melebihi 150,000

Ini bagi memastikan jangkitan kes import dapat dikawal dan melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman gelombang ketiga ini.

Bagaimanapun, bukan semua terlibat dalam sekatan perjalanan ini seperti contoh diplomat asing dan ahli keluarga mereka serta delegasi dari luar negara bagi urusan berkaitan hubungan dua hala, katanya.

Dalam perkara yang berkaitan, susulan pengumuman sekatan kemasukan pemegang Pas Jangka Masa Panjang, katanya, Mesyuarat Khas Menteri hari ini telah bersetuju untuk memberi sedikit kelonggaran untuk membenarkan Pemegang Pas Ekspatriat dan Pekerja Mahir dari negara yang terlibat untuk memasuki Malaysia.

Bagi Pemegang Pas Ekspatriat dan Pekerja Mahir, mereka perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan surat sokongan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) atau agensi yang berkaitan.

Bagi Penduduk Tetap dan pasangan warganegara Malaysia, mereka boleh memohon dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memasuki Malaysia dengan syarat perjalanan sehala sahaja.

Pemegang Pas Pelajar dari negara yang terlibat juga dibenarkan masuk ke Malaysia dengan memohon JIM terlebih dahulu. JIM tidak akan menerima permohonan pas pelajar baharu. – MalaysiaGazette