Antara dokumen yang dibawa pada penghujahan berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Hakim perbicaraan kes berprofil tinggi melibatkan SRC International Sdn Bhd menyifatkan kes itu sebagai salah guna kuasa dan pecah amanah (CBT) paling teruk melibatkan perdana menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, orang paling berkuasa dalam kerajaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata beliau tidak teragak-agak untuk memutuskan bahawa kes itu boleh dikategorikan dalam lingkungan salah guna kuasa, CBT dan pengubahan wang haram paling teruk, bukan sahaja kerana cara jenayah itu dilakukan tetapi juga melibatkan jumlah yang besar iaitu RM42 juta.

Hakim itu berkata jumlah RM42 juta tersebut mempunyai elemen impak ke atas orang awam kerana wang berkenaan adalah kepunyaan Menteri Kewangan (Diperbadankan) – dana kerajaan, dan boleh juga berasal daripada pembiayaan RM4 bilion oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang mana status sebahagian besar daripada RM4 bilion itu diberitahu sebagai ketidakjelasan yang tidak dapat ditentukan.

“Barangkali yang paling penting, kes melibatkan individu yang pada masa itu merupakan orang paling berkuasa dalam kerajaan,” kata Mohd Nazlan dalam penghakiman setebal 801 muka surat bertarikh 21 Ogos yang menjadi sebahagian rekod rayuan yang dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk mahkamah meneliti dan mempersoalkan sebab tertuduh berbuat demikian di sebalik (atau disebabkan oleh) kedudukannya, yang tidak dapat disangkal, sebagai orang paling berkuasa.

“Tertuduh (Najib), saya ulangi adalah seorang yang bijaksana dan pastinya mempunyai naluri yang kuat tentang betul dan salah. Saya cuma perlu, dalam rumusan ini, menekankan tiga perkara. Pertama, tertuduh disabitkan dengan tujuh pertuduhan jenayah yang serius yang beliau lakukan ketika beliau menjadi perdana menteri negara ini, sekali gus mengkhianati kepercayaan rakyat terhadap jawatan yang mulia itu.

“Kedua, beliau, sebagai akibatnya, mesti dihukum menurut undang-undang.

“Ketiga, sekarang saya bertanggungjawab melunaskan sumpah kehakiman saya untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan dalam menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh dengan memastikan peruntukan di bawah Perkara 8 Perlembagaan bahawa semua orang adalah sama menurut undang-undang, ditegakkan,” katanya.

Hakim itu juga berkata Najib tidak menzahirkan sebarang rasa kesal, malah mempertahankan keterangan pembelaannya bahawa beliau tidak tahu dana RM42 juta tersebut datang daripada SRC dalam ucapannya bagi memohon hukuman ringan.

Mohd Nazlan berkata beliau tidak boleh menafikan yang Najib adalah bekas perdana menteri negara ini mahupun mempersoalkan yang tertuduh telah menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dalam banyak cara, sementelah beliau menjadi perdana menteri selama sembilan tahun.

Beliau berkata sejarah politik akan terus membahaskan sama ada beliau (Najib) melakukan lebih banyak kebaikan berbanding kerosakan.

“Namun proses  ini sendiri (iaitu beliau dibicarakan atas tujuh pertuduhan) adalah tidak menepati usaha membentuk pentadbiran bersih yang tidak berkompromi terhadap rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Hakim itu berkata tidak ada seorang pun, termasuk tokoh politik dan pemimpin negara paling berkuasa, menikmati kekebalan daripada penguatkuasaan undang-undang.

Beliau seterusnya berkata rakyat mengangkat tertuduh ke puncak pimpinan negara dan menggenggam kuasa politik, iaitu kedudukan yang bersandarkan amanah dalam sistem demokrasi berperlembagaan.

“Sabitan terhadap beliau bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, CBT dan pengubahan wang haram adalah sebenar-benar pengkhianatan terhadap amanah itu.

“Atas sebab itu, saya menyifatkan sabitan ke atas tertuduh bagi salah guna kedudukan menurut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai pencabulan paling serius daripada tiga jenis kesalahan, mengambil kira kedudukan yang diamanahkan kepada beliau sebagai perdana menteri dan menteri kewangan negara ini ketika kesalahan-kesalahan itu dilakukan,” katanya.

Mengenai pembelaan Najib yang beliau tidak tahu sumber wang yang masuk ke akaun beliau ialah daripada SRC, hakim itu berkata dalam penilaiannya, tertuduh semestinya tahu kiriman wang RM42 juta tersebut daripada SRC.

“Sangat luar biasa bagi beliau untuk tidak mahu mengetahui tentang sumber dana dalam akaun-akaunnya yang membolehkan beliau mengeluarkan banyak cek peribadi.

“Ketiga-tiga,  Datuk Azlin (Allahyarham Datuk Azlin Alias, yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib),  Jho Low (Low Taek Jho) dan Nik Faisal (bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil), kesemua mereka dibuktikan berkomunikasi dengan beliau berkenaan akaun-akaun terbabit. Ini sudah pasti termasuk tentang maklumat penting seperti kiriman wang RM42 juta. Sangat menghairankan kalau sekadar bergantung pada ‘rasa’ bahawa ada dana mencukupi,” kata hakim.

Hakim juga berkata keterangan Najib mengesahkan peranan Jho Low dalam pengurusan akaun-akaun milik tertuduh selain pembabitan Nik Faisal dan Allahyarham Azlin.

Beliau berkata tertuduh memberi keterangan tanggungjawab utama Jho Low ialah memastikan dana mencukupi dalam akaun-akaun terbabit agar tertuduh dapat terus mengeluarkan cek peribadi daripada akaun-akaun tersebut.

“Beliau (Jho Low) juga saluran bagi sumber yang didakwa derma daripada Arab. Ini konsisten dengan kes pendakwaan sebelum ini bahawa tertuduh yang menyebabkan pindahan dilakukan menerusi Nik Faisal dan Datuk Azlin.

“Keterangan tertuduh bahawa Jho Low kebanyakannya terlibat dalam pengurusan akaun peribadi tertuduh juga konsisten dengan bukti perbualan Blackberry Messenger (BBM) di antara bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu dan Jho Low,” kata hakim.

Mohd Nazlan merumuskan selepas menimbang semua aspek, khususnya mengakui bahawa setiap satu daripada tujuh pertuduhan itu mencerminkan satu senario terburuk yang dapat dibayangkan, mengambil kira perancangan awal dan kecanggihan kaedah untuk melakukan kesalahan tersebut, kehilangan dana awam berjumlah RM42 juta milik SRC yang digunakan untuk faedah dan kepentingan tertuduh, dan paling penting, kesalahan-kesalahan besar itu dilakukan oleh tertuduh ketika beliau menyandang jawatan nombor satu amanah rakyat sebagai perdana menteri negara ini, hukuman yang sewajarnya harus dijatuhkan ke atas tertuduh.

Hakim berkata beliau juga memutuskan hukuman penjara adalah sesuai bagi setiap pertuduhan dan denda dengan jumlah sekurang-kurangnya RM210 juta harus dikenakan agar setimpal dengan keseriusan jenayah tersebut dan untuk mencerminkan betapa tidak setujunya rakyat terhadap kesalahan berkenaan.

Pada 28 Julai lepas, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan membabitkan tiga kes CBT serta tiga kes pengubahan wang haram serta 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara bagi kesalahan salah guna kuasa, ke atas Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana hakim memerintahkan hukuman terbabit berjalan serentak. Najib pada masa ini bebas dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuannya selesai.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman, sementara pihak pendakwaan pada 7 Ogos memfailkan rayuan balas untuk menambah jumlah keseluruhan hukuman yang dijatuhkan ke atas Najib.

Mahkamah Rayuan menetapkan 15 Okt ini untuk pengurusan kes bagi rayuan dan rayuan balas.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Kalau nak dikira adil dimana, pemberi rasuah tak hadir. Cuma dengar cerita yang menjalan pemberian urusan rasuah benar atau tidak, kerana penerima tidak tahu. Kemungkinan itu satu perangkap yang terancang.oleh pihak tertentu.
    Untuk meyakini rakyat Malaysia bawa balik Jho Low dan dibicarakan.

Comments are closed.