Aria Putera Ismail

KUALA LUMPUR- SME Bank menanggung kos bayaran sewa 230 penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank bagi tempoh April hingga September 2020.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam satu kenyataannya berkata, selain itu penyewa-penyewa berkenaan turut diberi diskaun sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan berikutnya iaitu Oktober hingga Mac tahun depan.

Menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, inisiatif itu akan diberikan secara automatik tanpa perlu membuat sebarang permohonan.

“Bagi penyewa yang terus membayar semasa tempoh moratorium ini, bayaran mereka akan dibawa ke hadapan.

“Kompleks Premis Usahawan SME Bank merupakan salah satu kemudahan menjangkaui pembiayaan yang disediakan oleh pihak Bank khusus untuk usahawan PKS tempatan.

“Kompleks yang terletak di 26 lokasi strategik seluruh negara ini menawarkan 454 buah lot kilang. Lot-lot kilang ini disewakan pada kadar yang berpatutan dan kompetitif,” katanya.

Tambah Aria, SME Bank sangat proaktif dalam memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan efisien kepada usahawan PKS yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Bank berkenaan telah memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SME Relief Program (SRP)) bagi mengurangkan beban kewangan usahawan PKS yang bersasar, memperuntukkan dana bernilai RM2.1 bilion bagi Skim SME Go dan Dana  Transformasi Teknologi PKS (STTF) di bawah PENJANA serta menyediakan pelbagai dana lain yang diumumkan kerajaan melalui PRIHATIN seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) dan Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES).”

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, inisiatif pengecualian bayaran sewa tersebut akan memberi penjimatan kos operasi sebanyak RM2.3 juta manakala diskaun 50 peratus untuk bayaran sewa selama enam bulan pula memberikan penjimatan tambahan melebihi RM1.15 juta kepada penyewa.

Penyewa Kompleks Premis Usahawan SME Bank yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kemudahan ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03-2603 7700 atau di cawangan terdekat untuk keterangan lanjut.- MalaysiaGazette