Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 58 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan untuk tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari dengan lapan kes pulih.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kes pulih meningkat kepada 9,189 kes atau 93.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 551 kes.

Jumlah kumulatif kes positif virus itu adalah sebanyak 9,868 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 58 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warga tempatan dan dua warga asing.

“Mengikut perincian kes, tiga kes import membabitkan warga tempatan iaitu dua dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ketiga dikesan di Selangor yang mana masing-masing pulang dari India Pakistan dan Indonesia.

“Manakala dua kes import membabitkan warga asing adalah masing masing warga Syria dan warga Filipina yang dikesan di Selangor dan juga Sabah.

“Kes warga Filipina merupakan seorang pendatang asing tanpa izin dan merupakan kes indeks bagi Kluster Laut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, daripada 53 kes penularan di dalam negara, 29 kes adalah warganegara tempatan manakala 24 kes adalah warga asing.

Katanya, sebanyak 48 kes dilaporkan di Sabah yang mana 24 daripadanya warga asing manakala 44 kes adalah daripada Kluster Benteng LD iaitu 21 daripadanya bukan warganegara juga.

Tambah beliau, tiga kes daripada Kluster Laut yang melibatkan semua bukan warganegara sementara satu kes adalah saringan pra pembedahan di Hospital Queen Elizaberth Kota Kinabalu dan lima kes di Kedah adalah daripada kluster Sungai.

“Sehingga kini, terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 kekal 128 kes sahaja atau (1.30 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – MalaysiaGazette