KUALA LUMPUR – Pusat Kebebasan bagi Kewartawanan (CIJ) memandang berat langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan media bukan kerajaan memasuki semua pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah hari ini.

Pengarah Eksekutif CIJ mendakwa sejak perubahan kerajaan pada bulan Mac tahun lalu, alasan Covid-19 semakin banyak digunakan untuk mengecualikan wartawan dan pengamal media bukan kerajaan daripada membuat liputan bagi peristiwa penting dan berkepentingan umum.

Sebagai contoh, hanya media rasmi yang dibenarkan membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan Perak, masing-masing pada 11 Mei dan 12 Mei lalu dengan alasan kerana Covid-19.

Sedangkan semua jemputan telah diberikan kepada semua media untuk membuat liputan pada sidang DUN Perak dengan arahan hanya seorang wartawan dan jurugambar sahaja dibenarkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.

Menurutnya, kecenderungan menyekat dan membenarkan akses hanya kepada agensi media kerajaan menimbulkan situasi bahawa hanya berita atau persepsi satu pihak yang akan tersedia untuk dihebahkan kepada masyarakat.

Setakat ini, akses sidang media oleh menteri-menteri kerajaan berkaitan Covid-19 juga hanya terhad kepada beberapa media rasmi saja.

CIJ juga mendapati undangan media rasmi daripada Pejabat Perdana Menteri pada 7 April lalu untuk sidang media khas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga diberikan kepada Bernama dan RTM.

”Senario ini sangat membimbangkan kerana masyarakat berhak mengetahui apa yang berlaku dan dapat membentuk pendapat mereka sendiri berdasarkan pelbagai sumber maklumat dan sebarang penapisan dan kawalan platform oleh media kerajaan akan menimbulkan maklumat terpilih.

“Melarang media tidak rasmi daripada membuat liputan acara kerajaan tetapi masih membenarkan semua media rasmi melakukannya dengan pertimbangan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal yang diambil kira, menunjukkan masih ada ruang bagi pengamal media lain untuk membuat liputan dengan mematahi SOP Covid-19,” kata Wathshlah.

Berikutan itu, CIJ sekali mengulangi pendirian bahawa sebarang langkah yang diambil untuk mengatasi wabak Covid-19 dan yang berpotensi untuk menyekat kebebasan media harus sah, mengikut keperluan, berkadar dan sementara, dengan tujuan untuk mengurangkan krisis kesihatan awam dengan segera.

Oleh itu, CIJ mendesak SPR untuk mempertimbangkan kembali keputusan mereka semula untuk melarang media bukan rasmi memasuki pusat penamaan calon dan membenarkan pengamal media memasuki pusat pengiraan undi pada 26 September 2020. – MalaysiaGazette