Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman Shafie Apdal appeal
Former Chief Minister of Sabah Tan Si Musa Aman
SANDAKAN – Keberadaan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman kekal menjadi misteri sehingga tempoh penamaan calon berakhir di Dewan Serbaguna Libaran dekat sini hari ini di mana beliau dijangka mengemukakan borang pencalonannya.

Banyak pihak yang berada di pusat penamaan calon itu, termasuk pengamal media, dilihat ingin sekali menyaksikan kehadiran Musa namun kelibat beliau tidak kelihatan sehingga Pegawai Pilihan Raya Irman Tajuddin Edy mengumumkan bahawa tempoh penamaan calon telah berakhir pada 10 pagi.

Ketibaan setiap kenderaan bercermin gelap mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengamal media dan mereka yang menunggu di pintu masuk pusat penamaan calon itu untuk melihat kalau-kalau Musa berada di dalam kenderaan tersebut namun ketiadaan kelibat beliau ternyata mengundang kekecewaan.

Panggilan telefon serta mesej oleh pihak yang rapat dengannya tidak dijawab, keberadaan beliau juga tidak diketahui malah persoalan sama ada Musa akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah masih misteri.

Tinjauan Bernama ke kediaman beliau di sini, yang terletak bersebelahan Dewan Serbaguna Libaran, mendapati ia kelihatan kosong dari luar pagar manakala pintu depan berkunci.

Pada 9 Sept, Musa membuat hantaran di akaun Twitter beliau berbunyi: “Saya akan kembali ke Sungai Manila” yang merupakan kerusi baharu dalam Parlimen Libaran.

Hari ini, Musa memuat naik satu artikel di Instagramnya yang menyebut bahawa pemimpin UMNO Sungai Manila mahu beliau menjadi calon bagi kawasan itu.

Beliau adalah penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Pilihan Raya Negeri itu diadakan selepas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersetuju membubarkan DUN Sabah atas permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai.

Ini berlaku sehari selepas Musa mendakwa beliau memiliki sokongan 33 Ahli DUN untuk menyingkirkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah dan membentuk kerajaan baharu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Sept sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-16. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast