Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Semua pihak telah menyaksikan kelemahan peranan Islam dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga ada kumpulan pelampau berani mencabar umat Islam.

Itu dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap dalam Ucapan Dasar Muktamar Pas ke-66 yang berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), di Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini.

Menurut beliau, kesedaran dan kebangkitan telah menyatukan mereka yang peka dalam semua parti, NGO Islam dan dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem kerana konsep masyarakat majmuk tidak dapat ditangani dengan pendekatan liberal dan pragmatik sekular.

Pas, katanya, berpijak di atas landasan akidah Islam dan mentafsirkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dalam Perlembagaan.

Perlembagaan juga meliputi jaminan hak istimewa orang Melayu yang sinonim bersama Islam, katanya dipetik dari laporan HarakahDaily.

“Marilah kita bersatu padu dalam gabungan parti politik yang dibentuk sekarang bagi menghadapi PRU-15 dengan bersedia untuk menang dan mengisi kemenangan dengan membentuk kerajaan yang lebih kukuh.

“Begitu juga kerajaan yang mendapat sokongan majoriti rakyat secara langsung dengan dikembalikan kepada mereka melalui pilihan raya umum, persediaan mengisi kemenangan dengan menyediakan pasukan calon yang berwibawa bagi memandu masa depan negara yang akan menghadapi cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar dari segi politik, ekonomi dan budaya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi juga menekankan perlunya perancangan ekonomi yang menghasilkan peluang pekerjaan dan menjana hasil keperluan negara yang mencukupi, serta memperkasakan kehebatan undang-undang dengan memperkenalkan syariat Islam yang sempurna.

Tambahan lagi, menyediakan jentera kerajaan dan pasukan yang mewujudkan keselamatan dan keamanan negara yang hebat, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast