KUALA LUMPUR – Kes baharu Covid-19 hari ini merekodkan jumlah kes positif baharu dua angka iaitu sebanyak 31 kes.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah apabila memberitahu, tiga daripada kes baharu itu merupakan pesakit yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Indonesia.

“Dua kes melibatkan warganegara Malaysia di Sabah dan satu kes di Kuala Lumpur. 28 kes penularan dalam negara dengan 19 kes adalah warganegara Malaysia manakala sembilan kes bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini sebanyak 9,946 kes dengan jumlah kes aktif 615 kes.

Sehingga kini, seramai 11 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata, tujuh individu disahkan sembuh jangkitan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini adalah 9,203 kes bersamaan 92.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Tambahnya, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan setakat ini dan jumlahnya kekal 128 kes atau 1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette