Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Kepimpinan dalam Muafakat Nasional (MN) diingatkan agar merenung kembali piagam yang dimeterai menerusi agenda Penyatuan Ummah.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, MN bermula daripada bangkitnya UMNO dan Pas selepas ‘kesenduan’ apabila Barisan Nasional (BN) jatuh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Lebih parah lagi ketika itu ramai wakil rakyat mereka yang lompat ke dalam blok Pakatan Harapan (PH), katanya.

“Sewaktu itu, NGO-NGO Islam begitu aktif dilibatkan dalam perjuangan-perjuangan tersebut termasuklah membantah ratifikasi ICERD, membantah ratifikasi Statut Rom, membantah pengiktirafan UEC dan sebagainya.

“Malah, parti-parti Melayu-Islam kecil seperti Berjasa dan Ikatan sering dilibatkan di atas pentas yang sama dalam siri-siri ceramah dan himpunan.

“Ketika itu, tiada rasa segan silu langsung untuk bercakap mengenai hak Melayu, hak Islam dan identiti nasional. Inilah yang membuat rakyat sangat teruja dan mendokong gelombang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena ulang tahun pemeteraian MN sebuah gagasan kerjasama politik antara UMNO dan Pas hari ini.

Bagaimanapun, Aminuddin berkata, semua itu tinggal kenangan dan kini aspirasi MN yang diidam-idamkan semakin kabur terutama ketika MCA dijulang semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai atas nama MN.

Beliau mendakwa, daripada situ, MCA yang sepatutnya sudah lama ‘mati’ telah mendapat hayatnya kembali.

“Daripada situ, kemarahan orang Melayu terhadap MCA yang banyak kontroversi sebelum ini terutamanya ketika pernah satu ketika mereka menyatakan hasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional ketika UMNO sedang tenat dahulu, sudah semakin kendur malah dilupakan.

“Malah, MIC juga sudah mula berani menuntut-nuntut kerusi majoriti Melayu sebagai bekalan untuk PRU-15 nanti,” ujarnya.

Aminuddin mendakwa, selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan, MCA dan MIC mendapat pelbagai habuan walaupun tiada sedikit pun sumbangan dalam menguatkan naratif Melayu-Islam yang menjadi tunjang kepada penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Semua itu hanya mahu membuktikan bahawa MN tidak rasis dan itulah yang ‘diratib’ sehingga sekarang, ujarnya.

Menurut Aminuddin lagi, kini sudah ada suara yang kuat untuk memasukkan MCA dan MIC sebagai komponen MN secara rasmi daripada pimpinan Muafakat Nasional sendiri.

“Sudahlah apabila mereka tidak ada di dalam secara rasmi pun, banyak telah dikompromi. Kita tidak boleh bayangkan bagaimana apabila mereka dimasukkan secara rasmi,” tambahnya.

Justeru beliau menegaskan agar kepimpinan MN merenung teras piagam yang dimeterai menerusi perenggan pertama iaiatu agenda Penyatuan Ummah yang menjadi penyebab kewujudan gagsan itu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kerusi2 umno sedia ada tidak boleh di potong2 untuk mic, mca, gerakan atau bersatu. Jika perkara itu berlaku bermakna makin mengecil lah kuasa melayu. Sedangkan cina solid ke dap.

Comments are closed.