Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 17 kes baharu Covid-19 dari Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

Ia berdasarkan saringan yang dibuat terhadap 5,402 individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Katanya, seramai 1,421 individu disaring di Lahad Datu manakala, 3,081 lagi saringan dibuat di Tawau.

“Berdasarkan keseluruhan jumlah saringan bagi kluster ini, seramai 913 merupakan banduan dan tahanan di mana 391 kes dikesan positif.

“Sebanyak 10 kes dikesan positif Covid-19 melibatkan kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu dan Penjara Tawau selepas saringan dilakukan ke atas 987 individu.

“Sebanyak 1,234 ahli keluarga kakitangan dan banduan di mana sembilan dikesan positif Covid-19,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.

Daripada jumlah 420 kes positif, 185 adalah dalam kalangan warganegara Malaysia manakala, 235 lagi bukan warganegara yang melibatkan warga Filipina (153 kes) dan Indonesia (82 kes).

Sementara itu, ketika memaklumkan mengenai Kluster Bunga, Noor Hisham berkata, empat kes bhari dilaporkan dalam kluster itu melalui persampelan kedua bagi sejumlah 22 krew kapal
yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson.

Ia menjadikan jumlah kes positif dalam kluster itu adalah 10 kes dengan 10 individu disaring di Selangor, 45 individu di Negeri Sembilan dan empat di Terengganu.

Bagi Kluster Sungai pula, Noor Hisham berkata, satu kes baharu dikesan selepas saringan dibuat keatas 16,622 individu di Kedah.

Perlis pula turut merekodkan satu kes baharu selepas saringan dilakukan ke atas 18 individu.

Susulan peningkatan ketara kes dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran telah dilaksanakan di Daerah Kota Setar, Kedah, kata Noor Hisham.

Perkara sama turut dilakukan di kawasan penjara dan Kuarters Penjara di Tawau, katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD turut dilanjutkan di Amanjaya, Sungai Petani, Kedah bagi zon di Zon Melor
berikutan keperluan saringan ulangan.

Beberapa kawasan berisiko tinggi dalam Daerah Kota Setar telah dikenalpasti dan saringan masih giat dijalankan kepada penduduk setempat, ujarnya.

“Justeru, kerjasama semua penduduk diperlukan untuk terus kekal berada di rumah dan hanya keluar rumah untuk urusan perlu sahaja.

“Penduduk juga dinasihat tidak meninggalkan kawasan yang telah diumumkan sebagai PKPD secara pentadbiran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette