Wajah kelima-lima individu yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh dalam kejadian di pangsapuri di Jade Hill, Kajang, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Polis memburu lima individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian bunuh seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Jade Hill, Kajang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mengadu teman lelakinya telah dipukul oleh empat individu ketika berada di pangsapuri berkenaan.

Katanya, mangsa yang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang akibat kecederaan di seluruh anggota badan akibat dicederakan menggunakan objek tumpul.

“Berhubung kejadian itu pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sedang mengesan lima individu bagi membantu siasatan kes ini.

“Mereka adalah, N. Vesnu (29 tahun), V. Sugumaran (31), S. Tinakaran (30), I. Guganesan (25) dan R. Navukarasan (30),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, polis membuka kertas siasatan bagi kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan individu terbabit atau mengetahui berhubung kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu sisatan.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superitendan, Vekram Sinnaiah di talian 019 4737108. – MalaysiaGazette