Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diiringi calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor (dua kanan) melaungkan 'Perikatan Nasional' pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang, Kampung Bolong Baru, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU- Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dicabar berdebat dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor bagi membuktikan kemampuannya mengetuai negeri berkenaan.

Cabaran itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada hari pertamanya berkempen untuk Hajiji yang mana sebelum ini Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin memberi bayangan calonnya itu akan dilantik sebagai Ketua Menteri jika gabungan PN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Mari kita ajak, cabar Shafie Apdal, mari datang ke Sulaman dan Tuaran berdebat di antara Shafie Apdal dan Datuk Hajiji biar rakyat menilai mereka berdua siapa pengkhianat kepada rakyat Sabah?” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang Kg Bolong Tuaran.

Kata beliau, parti Warisan di Sabah terbukti gagal memberi satu impak positif kepada rakyat semenjak mentadbir selama dua tahun dua bulan, dan ia terbukti apabila Shafie hilang majoriti di negeri itu.

Selain itu, Azmin turut menganggap Shafie bukan sahaja gagal menjadi Ketua Menteri malah tidak berjaya membangunkan kawasan di bawah seliaannya iaitu Parlimen Semporna.

“Kalau kamu Shafie Apdal gagal jaga kebajikan Sabah serahkan kepada Hajiji dan rakan-rakan untuk mentadbir Sabah. Saya datang mendukung Hajiji, sakit orang Sabah sakit juga diri saya.

“Semporna pun belum sempurna lagi. Konon dia Ketua Menteri jaga rakyat tapi tengok Semporna, sempurna atau tidak?  Nama sahaja parti warisan tapi tidak dapat meninggalkan satu warisan yang baik untuk rakyat Sabah,” katanya lagi.

Sehubungan itu ujar Azmin, demi memajukan Sabah, sebuah kerajaan negeri perlu mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan dan ianya akan berlaku sekiranya Perikatan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan. 

“Kita kena bekerjasama. Nak harap kerajaan negeri bersendirian tidak boleh nak harap pelabur asing datang ke Sabah tengok Shafie jadi Ketua Menteri semua lari,” tambah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.