Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Terdapat pertambahan sebanyak 23 kes baharu Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Daripada jumlah itu, 10 kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan luar negara melibatkan lima warganegara Malaysia dan lima lagi bukan warganegara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, 10 daripada kes tersebut adalah dari negara Filipina, Hungary, Turki, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi.

“Daripada 13 kes penularan di dalam negara, 10 kes adalah warganegara Malaysia dan tiga kes adalah bukan
warganegara.

“Semua penularan di dalam negara adalah di negeri Sabah iaitu lapan kes dari Kluster Pulau, empat Kluster Benteng Lahad Datu dengan tiga bukan warganegara manakala satu lagi kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 14 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Ujarnya, tiada pertambahan kes kematian berkaitan wabak tersebut dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes atau 1.28 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut memaklumkan terdapat enam kes yang telah pulih dan dibenar discaj hari ini menjadikan jumlah terkumpul kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 9,209 kes atau 92.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette