Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melakukan 'fist bump' bersama calon Perikatan Nasional (PN) N.12 Sulaman, Datuk Hajiji Noor (kanan) pada Majlis Ramah Mesra dan Rapat Umum Pemimpin Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang, Kampung Bolong Baru, Tuaran, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Hari ini giliran Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersuara mengenai calon Ketua Menteri Sabah.

Hari pertama membantu kempen untuk Perikatan Nasional (PN), Azmin sebagai Ketua Penerangan berkata, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor memiliki keperibadian dan watak untuk melayakkannya mengetuai pentadbiran negeri.

“Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan di depan tuan-tuan dan puan-puan apabila mendengar ucapan Datuk Hajiji, memang layak diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Ini bukan pandangan saya seorang, (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berada di Sabah beberapa hari lalu juga membuat kenyataan berdasarkan watak, keperibadian, khidmat, ilmu beliau, rakyat Sabah memerlukan tokoh begini,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang Kg Bolong Tuaran.

Beliau berkata, Sabah memerlukan ketua yang boleh bekerja dan berkhidmat untuk rakyat.

Azmin dilihat mengulangi kenyataan Muhyiddin pada Hari Penamaan Calon PRN Sabah yang mahu Hajiji mengetuai pentadbiran Sabah sekiranya parti sekutu dalam PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai Gerakan Rakyat Sabah bersetuju.

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu bakal Ketua Menteri Sabah hanya sesuai dibincangkan selepas BN dan Gabungan Rakyat Sabah menang sekurang-kurangnya 37 kerusi DUN. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Azmin cuba bawa minda PH untuk berebut jawatan ketua dalam PN. Dulu PH berebut antara TM dan DSAI untuk jadi PM. Sudahlah tinggalkan minda melobi. Jangan bawa penyakit PH ke PN

  2. Satu perkara yang tidak molek dinyatakan semasa berkempen.
    Pada pemdapat saya, azmin perlu senada dng pemimpin PN yg lain.
    Terlanjur keta boleh mengundur
    Terlanjur kata buruk padahnya!!

Comments are closed.