Orang awam menonton Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Gombak, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 15 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang mencatatkan kes-kes baharu Covid-19 yang tinggi.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan jangan leka.

“Peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian penutup hidung dan mulut dan pematuhan kepada SOP masih berkuatkuasa.

“Saudara dan saudari mesti terus berdisiplin dan patuh kepada peraturan. Ini penting supaya kita dapat mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya dalam siaran langsung situasi semas jangkitan Covid-19 malam ini.

Buat masa ini, menurut Muhyiddin, berdasarkan dapatan yang diperoleh penyelidik dari seluruh dunia dan tren kes yang dilaporkan, pandemik sama dilihat masih menular secara aktif dan dijangka akan berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

Ia mengambilkira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 secara berkesan yang memerlukan kewujudan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan.

“Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini. Tidak terkecuali Malaysia juga masih mengalami penularan aktif wabak ini.

“Kes harian Covid-19 yang direkodkan adalah sekitar satu, dua
dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar. Ini
memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya lagi.

Beliau juga mahu rakyat terus mengamalkan kehidupan norma baharu yang sudah biasa diamalkan berdasarkan SOP sambil menganggap rakyat yang berbuat demikian juga dianggap petugas barisan hadapan.

Muhyiddin juga mengingatkan semua akan kesan sekiranya kes-kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan semula.

“Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan
ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini. Na’uzubillah,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua pihak akan terus cekal, tabah dan
berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

“Ingatkan diri kita supaya terus membudayakan amalan norma-norma baharu kehidupan. Selain tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan, amalan norma baharu kehidupan oleh saudara dan saudari sekalian adalah faktor yang amat penting dalam usaha kita untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Oleh itu, berhati-hatilah. Lindungi diri anda. Lindungi keluarga anda. Lindungi orang-orang di sekeling anda. Sama-samalah kita berdoa semoga segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi Covid-19 akan berjaya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast