Keadaan gondola kereta kabel yang rosak teruk akibat vandalisme. foto Agensi

OTTAWA – Polis Kanada sedang menyiasat kejadian gondola kereta kabel yang disabotaj buat kali kedua dalam tempoh setahun.

Kereta kabel di Squamish, utara Vancouver itu mengalami kerosakan teruk.

Namun tiada kakitangan atau pelancong yang berada di dalamnya ketika kejadian dilaporkan pada jam 4 pagi hari Isnin.

Pada Ogos tahun lalu, hampir 30 kereta di atas gondala itu terjatuh selepas tali kabel dipotong.

Susulan kejadian terbaharu itu, kawasan tumpuan pelancong itu ditutup, menurut syarikat pengendali.

Ia akan dibuka semula pada bulan Februari tahun depan memandangkan perbuatan itu menyebabkan kerosakan yang bernilai jutaan dolar.

Kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan termasuk pemasangan kabel semula setebal 55 milimeter sejauh 4.4 kilometer dengan sistem keselamatan baharu.

”Sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku sekali pun dalam seumur hidup telah berlaku dua kali,” kata pengurus besar syarikat tersebut, Kirby Brown kepada stesen radio Mountain FM.

Beliau mengatakan kejadian kedua ini adalah tindakan “seorang pelakon jahat yang perlu dihadapkan ke muka pengadilan”, sambil menambah sistem keselamatan yang digunakan telah merakam gambar seorang suspek.

Polis Kanada berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa agensi untuk menyiasat insiden tersebut dan berharap lebih banyak maklumat dapat disalurkan.

Perkhidmatan gondola itu mempunyai 30 kereta yang mana setiap satu boleh membawa lapan penumpang dalam pengembaraan selama 10 minit pada ketinggian 885 meter dari paras laut. – MalaysiaGazette