Zahasmi Ismail-Gambar FB

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail menerima dengan hati yang terbuka, selepas direhatkan daripada menjalankan tugas oleh pihak pengurusan KUFC bagi menghadapi baki saingan Liga Premier musim ini, susulan pasukan itu mengalami kekalahan berterusan berturut-turut.

Zahasmi berkata, beliau berterima kasih sepanjang diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai ketua jurulatih pasukan itu, sejak bersaing pada Liga M3 tahun lepas sehingga membawa pasukan ke Liga Premier musim ini.

“Jodoh saya dengan pasukan hanya setakat ini.. saya amat berterima kasih di atas kepercayaan diberikan selama ini oleh pihak pengurusan.

“Saya terima dengan hati terbuka dengan apa keputusan yang dilakukan oleh pengurusan dan mungkin itu adalah jalan terbaik untuk merehatkan saya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

“Di bawah kendalian Zahasmi, KUFC berada di kedudukan ketujuh saingan Liga Premier, dengan hanya memperolehi sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan dan empat kekalahan.

Sementara itu Setiausaha Kehormat KUFC Anas Karimi Ahmad Thani berkata, selain Zahasmi dua penolong jurulatih pasukan itu iaitu Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali, turut direhat berkuat kuasa serta merta.

“Tempoh ‘rehat’ Zahasmi Ismail selaku ketua jurulatih bersama dua penolongnya iaitu Sazami Shafii dan Zahariman Ghazali, akan dimaklumkan sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

“Keputusan itu dicapai menerusi satu mesyuarat melibatkan seluruh pengurusan tertinggi pasukan yang telah berlangsung semalam, berdasarkan kepada prestasi semasa pasukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anas Karimi berkata keputusan itu dilakukan adalah salah satu usaha untuk memulihkan semula prestasi pasukan, bagi memastikan sasaran yang diimpikan mampu dicapai.

“KUFC merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Zahasmi Ismail serta pembantunya atas khidmat mereka membantu pasukan sejak musim 2019 sehingga membawa kepada kejayaan muncul juara Liga M3 dan layak ke Liga Premier Malaysia musim ini,” katanya.

Katanya selaras dengan itu, KUFC telah mencari jurulatih baharu sementara mengisi kekosongan tersebut dan berharap penyokong akan terus bersama pasukan, dalam mengharungi baki saingan Liga Premier selepas ini.

“Sokongan padu penyokong merupakan tunjang kekuatan pasukan…kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan pasukan layak ke saingan Piala Malaysia dan Liga Super musim depan,” katanya.- BERNAMA