Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kluster Benteng Lahad Datu (LD) mencatatkan 48 kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif bagi kluster itu meningkat kepada 472 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, sehingga tengah hari tadi, seramai 7,247 individu sudah disaring dalam kluster berkenaan termasuk 1,531 di Lahad Datu dan 5,716 di Tawau.

Katanya, berdasarkan saringan itu, seramai 1,379 individu ialah banduan dan tahanan, yang mana 429 kes dikesan positif Covid-19 dan 1,156 individu ialah kakitangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Lahad Datu serta Penjara Tawau, dengan 10 kes dikesan positif.

“Selain itu, saringan juga membabitkan 1,251 ahli keluarga kepada kakitangan, banduan dan tahanan (10 kes positif), 994 pegawai agensi kerajaan lain (tiada kes positif) dan 2,467 kontak sosial (23 kes positif),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kes tersebut merupakan sebahagian daripada 62 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Bagaimanapun di Kedah dan Pulau Pinang kedua-dua negeri itu masing-masing mencatatkan hanya satu kes hari ini. – MalaysiaGazette