Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam bersama Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail selepas menandantangai MoU untuk menambahbaik Khazanah Rimba.

KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menandatangani memorandum persefahaman untuk menambahbaik projek hutan bandar yang dikenali sebagai “Khazanah Rimba” di Taman Rekreasi Pantai Eco Park, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Kerjasama di antara syarikat pembetungan nasional dan badan bukan kerajaan ini akan mengukuhkan potensi penggunaan semula bi-produk kumbahan dalam memulihara alam sekitar.

Seiring dengan majlis menandatangani MOU ini, IWK dan MNS melancarkan kempen menanam pokok hutan yang dikenali sebagai “Adopt a Tree”, di mana individu, kumpulan atau syarikat swasta boleh menderma dan MNS akan menanam serta menjaga pokok tersebut di Pantai Eco Park.

Menerusi usahasama ini, IWK akan menyediakan kemudahan, bahan-bahan keperluan, kemahiran pengurusan dan industri untuk menyokong usaha MNS dalam perkembangan hutan bandar. Sebanyak 500 pokok dijangka akan ditanam sehingga akhir tahun ini.

Bio-pepejal yang dihasilkan menerusi proses rawatan kumbahan, akan digunakan sebagai perapi tanah untuk tanaman pokok hiasan. Projek ini juga bertujuan untuk memberi perlindungan kepada spesies fauna dan mengubah taman  tersebut untuk menjadi taman komuniti dan pendidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, dalam mencapai visi tersebut, IWK mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk untuk sama-sama bekerjasama dan menerokai pelbagai potensi pertumbuhan ekonomi dan sosio-ekonomi.

Oleh yang demikian, katanya, kerjasama antara IWK dan MNS dapat berfungsi sebagai landasan terbaik bagi industri dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk berganding tenaga dan kepakaran mempelopori industri pembetungan.

“Sebagai salah satu NGO yang terkenal dengan kepakaran dalam pemuliharaan dan perlindungan warisan alam, saya amat yakin bahawa IWK dan MNS dapat bekerjasama dengan baik terutama dalam bidang pembangunan sosial industri pembetungan dan pengunaan semula bi-produk,” tambah beliau.

Sementara itu, Presiden MNS, Prof Dr Ahmad Ismail melahirkan rasa gembira kerana IWK mempunyai visi yang sama dalam melindungi dan memulihara alam sekitar.

“Kami gembira kerana IWK juga mempunyai visi yang sama, dan ini dapat dilihat dengan perkembangan projek hutan Bandar “Khazanah Rimba”,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai isu yang membelenggu alam sekitar sekitar hari ini jika tidak berjaga-jaga boleh menyebabkan masyarakt kehilangan hadiah yang tidak ternilai secara tidak sengaja.

“Kerjasama inilah yang kami harap dapat dimanfaatkan, di samping dapat memberi kesedaran penting kepada semua pihak.” katanya.

Memorandum berkenaan ditandatangani Narendran, bagi pihak IWK dan Prof Dr Ahmad bagi MNS.

IWK telah melancarkan program “Khazanah Rimba”, satu projek hutan mini dalam bandar yang terletak di Pantai Eko Park pada tahun lepas.

Program ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memelihara khazanah hutan kita di samping menjadikan persekitaran bandaraya lebih hijau.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast