Jentera, Arwinda Mirula (kanan) dan Fazilah Ahmad menunjukkan risalah Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah pada majlis perasmiannya sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Magellan Sutera Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Sembilan Aku Janji atau manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan komitmen semua parti di dalamnya untuk mengangkat taraf hidup rakyat negeri itu.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, fokus utama gabungan itu adalah  memulihkan ekonomi rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

“Sabah seperti di negeri lain masih perlu pembelaan dan sokongan sama ada (kerajaan) negeri mahu pun (kerajaan) persekutuan, maka disebabkan itulah hari ini kita melancarkan aku janji ini menunjukkan komitmen yang total daripada parti-parti dalam GRS untuk dilaksanakan.

“Ia untuk mengangkat taraf rakyat Sabah ke suatu yang lebih tinggi lagi terutama pada waktu pandemik Covjd-19 yang masih melanda dunia dan Malaysia.

“Setakat usaha yang nak dibuat tidak mencukupi tapi untuk nak membantu rakyat Sabah yang sebahagiannya telah jatuh miskin hampir papa (kedana) Covid-19.

“Maka oleh sebab itu komitmen itu bukan komitmen biasa tetapi  komitmen luar biasa,” katanya ketika berucap di Pelancaran Aku Janji Gagasan Rakyat Sabah di The Magellan Sutera Harbour hari ini.

Aku Janji GRS untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini berteraskan sembilan perkara yang bertemakan Sayangi Sabah.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, demi menyelesaikan masalah dan membantu rakyat, hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan perlu intim dan baik untuk memudahkan perjalanan pelaksanaan manifesto.

“Setakat usaha yang nak dibuat tidak mencukupi untuk membantu rakyat Sabah yang sebahagiannya jatuh miskin, yang hampir papa kedana kerana Covid-19. Sebab itu saya nak nyatakan bukan sahaja membentuk kerajaan negeri menyelesaikan masalah tetapi dorongan rapat dan  intim antara kerajaan persekutuan menjadi perkara yang tidak boleh dielakkan,” tambahnya.

Muhyiddin berkata, beliau sentiasa bersedia untuk mempertimbangkan menambah bantuan kepada rakyat sekiranya menjadi pilihan untuk menubuhkan kerajaan.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat negeri itu memilih parti yang berada dalam GRS menjelang PRN Sabah pada 26 September nanti.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast