Pemilik bengkel disyaki mencuri kereta yang dilaporkan hilang mac lalu berjaya dicekup bersama barang curi di bengkel miliknya di Jalan Klang Lama pada Selasa lalu.

KUALA LUMPUR – Baru beberapa hari keluar penjara setelah menjalani hukuman atas kesalahan curi kenderaan namun ditangkap semula atas kesalahan yang sama.

Itu nasib seorang saspek lelaki India berusia 30 tahun dipercayai pemilik bengkel kereta yang ditahan dalam serbuan di sebuah bengkel miliknya di Jalan Klang Lama pada 15 September lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @Hilmi berkata, suspek ditahan sekitar 12.30 hari oleh pasukan polis dari balai Polis Petaling.

“Polis telah menerima satu laporan dari seorang pengadu berkaitan kehilangan keretanya jenis Proton Iswara yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta berdekatan dengan Public Bank, di Jalan Kuchai Lama.

“Pengadu berusia 27 tahun dan merupakan pegawai pemasaran yang mana dalam laporan dia mengadu bahawa kejadian berlaku pada Ogos 2019 dan kemudian didapati hilang ketika kembali semula ke tempat itu untuk ambil kereta pada Mac lalu sebelum menyedari keretanya tiada di tempat itu disyaki hilang dicuri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Berdasarkan maklumat aduan mangsa menerusi laporan pada Mac lalu, polis telah melakukan serbuan ke atas bengkel suspek di Jalan Klang Lama sebelum pemeriksaan di dalam premis itu berjaya menemui tiga buah enjin motosikal nombor enjin diganggu.

“Turut ditemui sebuah enjin kereta disyaki bersabit kes curi kereta yang dilaporkan pengadu Mac lalu. Suspek ditahan dan kesemua enjin kenderaan itu berjaya dirampas untuk tindakan susulan.

“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan dia baru beberapa hari keluar dari penjara untuk kesalahan kes curi kenderaan,” ujar beliau.

Jelas beliau suspek direman tiga hati sehingga 18 September ini untuk membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan lelaki berkenaan dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat,  tegasnya.-MalaysiaGazette