Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila.

KUALA LUMPUR – Kemelut antara Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila akhirnya selesai apabila mereka sepakat dengan tiga tuntutan yang dimeterai dalam perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak itu membabitkan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz.

Menerusi tuntutan itu, Sharnaaz bersetuju memberi nafkah edah kepada Nabila sebanyak RM500 selama tiga bulan dan nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, hak penjagaan anak turut diberikan kepada Nabila termasuk memberi kebenaran kepada Sharnaaz berjumpa anak mereka serta tuntutan nusyuz turut dibatalkan.

Dalam pada itu, Nabila juga bersetuju mengetepikan tuntutan mutaah kecuali sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail yang dipindah milik kepadanya.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, namun bercerai secara hakam pada 9 Julai lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette