Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin (dua kanan) diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Biforst Logistics, Datuk Paduka Hamie Appala Nakkiah (dua kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Pelancaran Trak Tenaga Solar dI MAEPS, Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 SEPTEMBER 2020

SERDANG – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi bayangan tidak akan lagi bertanding di parlimen itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, beliau perlu berpindah ke parlimen lain jika tidak kekal di Rembau yang dimenangi sejak 2008.

“Saya terima jemputan ini atas beberapa sebab. Yang pertamanya sudah pasti ini adalah satu inovasi dan inovasi berkaitan dengan kementerian saya.

“Yang kedua jemputan Undang (Luak Johol) dari Negeri Sembilan saya tidak ada pilihan melainkan hadir.

“Lebih-lebih lagi Datuk (Undang Luak Johol) mungkin saya tidak ada lagi tempat di Rembau kena cari tempat lain pula,” katanya tersenyum.

Beliau berkata demikian ketika memulakan ucapannya pada majlis pelancaran trak solar pertama di negara ini keluaran Biforst Group di MAEPS di sini hari ini.

Kenyataannya tanpa diduga itu mencuri perhatian tetamu termasuk Pengerusi Biforst Group yang juga Undang Luak Johol, Datuk Muhammad Abdullah.

Bulan lalu, Timbalan Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota mengumumkan beliau akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15.

Namun Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dalam kenyataan balasnya berkata, beliau sedia berbincang dengan UMNO bahagian itu sekiranya ada pertukaran pemimpin dan kerusi pada PRU15 nanti.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, hal dalaman bahagian parti itu biarlah dirunding secara adik-beradik untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Khairy memberitahu, sektor pengangkutan adalah salah satu penyumbang utama bagi pelepasan gas rumah hijau apabila jalan raya mencatat 85.2 peratus diikuti oleh penerbangan dan lain sektor.

Jelas beliau, daripada jenis kenderaan, trak mengeluarkan jumlah karbon oksida tertinggi berbanding van.

“Oleh itu, inovasi oleh Biforst sangat dialu-alukan kerana ia akan mengurangka jejak karbon monoksida setiap tahun dan menyumbang kepada persekitaran yang lebih hijau.

“Saya diberitahu bahawa trak berkuasa solar ini dapat mengurangkan jejak karbon hingga 14,600 kilogram (kg) per tahun dan meningkatkan kecekapan bahan bakar hingga 22 peratus.

“Contohnya dengan satu liter diesel, sebuah trak dengan pendingin udara yang digerakkan oleh enjin boleh pergi sejauh 5.8 kilometer (km). Tetapi sekarang, sebuah trak bertenaga solar dapat pergi sejauh 7.1 km dengan jumlah bahan bakar yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast