KUALA LUMPUR – Seorang pemasang mozek didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menghentak kepala anak teman wanitanya di dinding rumah sehingga  bengkak di dahi mangsa, Isnin lalu.

Chak Chee Wah, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa lelaki berusia 13 tahun itu di sebuah rumah di Jalan Cheras 3 ½, di sini, pada 8 malam, 14 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala peguam tertuduh, Choo Yeong Shing memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya  menjaga ibu bapanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Tertuduh juga dilarang menganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan mahkamah menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast