KUALA LUMPUR – United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) akan membuka cawangannya di seluruh negara pada hujung minggu dalam bulan September 2020 untuk menawarkan Program Bantuan Covid-19.

Pembukaan cawangan pada 19 dan 20 September serta 26 dan 27 September membabitkan semua cawangan UOB kecuali Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Manakala untuk Kota Bharu dan Kuala Terengganu, operasi dibuka pada 18 hingga 19 September dan 25 dan 26 September 2020.

Operasi bermula 10 pagi hingga 1 petang.

Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia berkata, bank itu memahami bahawa sesetengah pelanggan mungkin masih memerlukan bantuan kewangan selepas moratorium pinjaman berakhir pada 30 September.

“Bagi pelanggan yang mungkin tidak dapat mengunjungi cawangan UOB pada waktu operasi biasa semasa hari bekerja kami akan membuka cawangan kami pada hujung minggu dalam bulan ini sebagai kemudahan tambahan kepada pelanggan.

”Kami kekal menyokong pelanggan kami dalam tempoh yang mencabar ini selain membantu mereka ke arah pemulihan,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette