Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara diiringi Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin melawat ruang pameran pada Pelancaran Program "We Love, We Serve, We Hope" di Dewan Pusat Komuniti Gombak, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2020

GOMBAK – Rungutan mengenai Projek Perumahan Penjawat Awam (PPAM) Melanjau di Presint 14 Putrajaya yang didakwa tidak mengikut spesifikasi pembinaan akan dibincangkan dengan Presiden perbadanan wilayah itu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Edmund Santhara berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Saya harus rujuk dulu dengan Presiden Perbadanan Putrajaya khususnya apabila diberikan komen begini kita akan mengkaji kembali.

“Kita akan dapatkan apakah maksud ‘finishing’ tersebut. Adakalanya cat dan ada kalanya pada ada standard tertentu yang tidak cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Pelancaran Program ‘We Love, We Serve, We Hope’ anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Beliau ditanya wartawan mengenai rungutan seorang pengguna laman sosial, Khairil Anuar Ahmad apabila melahirkan rasa tidak puas hati terhadap projek perumahan berkenaan.

Khairil menerusi catatan di Facebooknya memberitahu, projek perumahan berkenaan sangat teruk dan ia bukanlah projek yang diperoleh secara percuma.

“Kenapa teruk sangat Projek PPAM Melinjau ni…kami beli bukan dapat percuma..Finishing hancur plaster pakai kaki..,bukan tu je tapi banyak lagi..siapa berani dan ikhlas projek bawat PBT mana jawapan biar ikhlas,” tulis Kahiril Anuar dalam catatan itu.

Mengulas lanjut, Edmund berkata, beliau akan memastikan perkara itu akan diambil tindakan selepas perbincangan diadakan dengan Presiden Perbadanan Putrajaya.

Ini kerana kata beliau, secara umumnya projek-projek yang dijalankan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan sememangnya memiliki tahap pembinaan yang dipastikan berkualiti.

Namun katanya, memandangkan rungutan individu berkenaan terlalu spesifik maka ia akan dirujuk kepada Perbadanan Putrajaya agar diambil tindakan susulan.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, Ketua Pengarah Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.